KUALA TERENGGANU: Sikap pengundi di Terengganu memilih parti mana untuk menerajui negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos sukar diramal.
Malah pengundi boleh bertindak di luar jangkaan dengan melakukan perubahan di saat-saat akhir atau swing state mengikut selera masing-masing dalam memilih parti yang bakal menerajui negeri.
Seorang penduduk, Azizul Mamat, 53, berkata, dia akan membuat penilaian prestasi kerajaan Pas dan Barisan Nasional (BN) demi memastikan rakyat di negeri ini lebih maju dan terbela.
Menurutnya, dia sebelum ini menyokong Pas namun mengambil keputusan mahu mengalih sokongan kepada BN selepas mendapati negeri ini agak ketinggalan dalam kebanyakan bidang.
“Malah, saya mendapati pembangunan negeri ini lebih rancak pada pemerintahan kerajaan BN di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman sebelum ini.
“Kebanyakan pengundi di Terengganu sebenarnya ‘rindu’ dengan aura pemerintahan zaman BN sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Pesara tentera, Adnan Ismail, 55, pula berkata, dia kekal menyokong Pas setelah berpuas hati pemerintahan kerajaan negeri diterajui Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada penggal lalu.
Katanya, Pas mempunyai peluang lebih cerah untuk memenangi PRN ini seterusnya dapat memerintah Terengganu dalam tempoh dua penggal berturut-turut.
“Rakyat Terengganu perlu memberi peluang kepada Pas untuk kekal memerintah dan memastikan negeri ini terus maju pada masa akan datang,” jelasnya.
Seorang pengundi muda, Muhammad Ammar Syahmi, 24, berkata, dia lebih tertarik menyokong BN bagi memastikan negeri ini lebih membangun terutama dalam aspek ekonomi dan peluang pekerjaan.
“Sebagai anak muda, saya mahu kerajaan negeri selepas ini dapat merancakkan lagi pembangunan dan ekonomi di Terengganu bagi menjamin kemakmuran rakyat.
“Difahamkan kebanyakan golongan muda yang menyokong Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 kini lebih tertarik memilih BN,” dakwanya. – UTUSAN










