PRN: 5 juta pengundi muda pilih siapa? - Utusan Malaysia

PRN: 5 juta pengundi muda pilih siapa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira lima juta pengundi muda yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dijangka memilih wakil rakyat berdasarkan latar belakang calon yang berpotensi membawa perubahan dan bukan mengundi berasaskan parti politik.

Mereka yang berusia 18 hingga 39 tahun dan dalam kategori pengundi atas pagar sedang menilai rekod perkhidmatan setiap calon dan jika diyakini mampu membawa pembaharuan khususnya berkaitan agenda pemerkasaan golongan belia calon itulah yang dipilih.

Justeru, calon-calon yang di­letak setiap parti perlu kompeten dan mempunyai dasar dan hala tuju jelas untuk ‘dijaja’ kepada pengundi muda di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah dan Terengganu menjelang 12 Ogos ini.

Bercakap kepada Utusan Ma­­lay­sia, Pemimpin Belia dan Ikon Siswa Kepimpinan Universiti Malaya (UM), Lim San Shien berkata, beliau dan rakan-rakan mahu calon yang kompeten dan boleh menyelesaikan isu-isu bersifat nasional dan lokal yang membabitkan kehidupan harian.

Menurut beliau, kalangan pengundi muda tidak lagi mudah ‘termakan hasutan’ atau ucapan politik lebih-lebih lagi yang menyentuh isu bangsa, agama dan institusi raja (3R) kerana isu-isu tersebut tidak berfaedah kepada mereka.

“Setiap kawasan pasti berbeza keperluan, cuma saya gemar memilih calon berdasarkan pengalaman, profesion dan perkhidmatannya. Polisi yang harus ada untuk calon sudah tentu dari segi pelaburan ekonomi, kos sara hidup dan infrastruktur.

CALON

“Kita tahu jurang pendapatan di Malaysia semakin jauh, jadi, mana-mana calon yang boleh menawarkan solusi terbaik, aspirasi memperkasa belia pasti akan dipilih rakyat. Jika calonnya baik, maka baik­lah parti politiknya.” katanya ketika dihubungi semalam.

Senada, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abd. Hamid berkata, golongan muda lebih cende­rung untuk tidak menyokong parti politik sebaliknya memilih berdasarkan kredibiliti calon dan kempen-kempen di media sosial memberi panduan kepada mereka memilih wakil rakyat baharu.

“Memandangkan mereka ini tidak mempunyai soko­ngan tetap kepada parti politik, maka saya percaya undian mereka bergantung kepada siapa calon yang bertanding.

“Bagaimanapun, ­pemilihan calon ini tetap bergantung dengan dasar dan polisi yang mereka bawa. Sebab itu, parti politik mesti teliti dalam memilih siapa calon yang sesuai mewakili parti-parti mereka,” katanya.

Presiden Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd. Sabri pula berkata, golongan muda lebih menumpukan kepada politik idea dan politik dasar, bukan lagi bersandarkan retorik demi meraih populariti serta menanam persepsi untuk menakutkan rakyat.

“Kami golongan belia sudah melalui hampir semua pembentukan kerajaan selepas PRU14 sehinggalah terbentuk Kerajaan Perpaduan. Jadi, saya yakin, orang muda sudah matang menilai calon untuk dijadikan pemimpin masa hadapan,” katanya.

Pengasas Bersama Undi18, Qyira Yusri bagaimanapun ber­kata, beliau lebih cende­rung melihat kepada undian rakyat berdasarkan parti politik gergasi seperti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasio­nal (BN) dan Perikatan Nasio­nal (PN).

Sebaliknya, kata Qyira, kawasan yang menyaksikan pertembungan banyak penjuru akan mendorong pengundi khususnya golongan muda memilih berdasarkan latar belakang calon yang bertanding di sesuatu kawasan.

“Pilihan raya kali ini berbeza dengan PRU15, jadi, anak muda akan melihat bagaimana kerajaan negeri (melalui parti politik) boleh membantu mereka dalam aspek perniagaan dan peluang pekerjaan. Anak muda akan melihat apakah bentuk program akan diadakan kerajaan negeri bagi membantu mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×