JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar, 50, mahu menjadikan isu rakyat setempat sebagai tumpuan utama sepanjang tempoh berkempen bermula hari ini.
Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai itu berkata, sebagai anak kelahiran Tampoi memberi kelebihan kepadanya untuk berdamping dan mendekati pengundi dalam kalangan masyarakat setempat.
Beliau berkata, tempoh 14 hari berkempen itu akan dimanfaatkan sebaiknya bersama jentera parti mengikut kawasan bagi memastikan setiap suara penduduk didengari.
“Saya akan lihat pelbagai masalah yang membelenggu penduduk setempat seperti banjir kilat serta isu rakyat yang lain.
“Kelebihan sebab saya lebih mengenali mereka (pengundi) dan sebelum ini saya juga banyak bertemu dengan masyarakat, khususnya semasa pandemik Covid-19. Insya-Allah saya akan berusaha sedaya upaya untuk membantu mereka,” katanya ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
Zulkifli berdepan saingan daripada Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kayat dan Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi sebagai calon Bebas.
Beliau yang juga seorang usahawan aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan termasuk menjadi Timbalan Pengerusi Komuniti Keluarga Malaysia Parlimen Pulai. – UTUSAN