PRK: Sanusi jangan hasut pengundi, tampilkan idea, solusi - Hairi - Utusan Malaysia

PRK: Sanusi jangan hasut pengundi, tampilkan idea, solusi – Hairi

MOHD HAIRI MAD SHAH (tengah) menyempurnakan Pelancaran Persatuan Meluncur Ais Johor Darul Ta’zim (JDTISA) di Blue Ice Skating Rink@Paradigm Mall, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diingatkan supaya tidak bermain persepsi dan menghasut pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram untuk bereksperimen dengan memberikan kemenangan kepada PN.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, tindakan itu menimbulkan kekeliruan setelah parti pembangkang itu tidak menjanjikan apa-apa kepada pengundi di kawasan yang diajak untuk melakukan perubahan.

“Saya agak pelik dan keliru mengapa Sanusi cuba bermain dengan persepsi sedemikian sedangkan tidak mengemukakan apa yang cuba PN ingin bawa kepada Johor.

“Ya, memang ini hanyalah PRK satu Parlimen dan satu DUN yang tidak membolehkan PN membentuk kerajaan di Johor, tetapi jika cita-cita beliau ingin membawa gelombang PN, sepatutnya beliau perlu nyatakan apa yang mahu dibawa PN ke negeri ini,” katanya.

Kelmarin, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah mendakwa PRK Simpang Jeram akan menjadi pintu masuk bagi ‘gelombang PN’ di Johor yang tercetus dalam PRN di enam negeri lalu, baru-baru ini akan melanda utara Johor sampai ke selatan Johor Bahru.

Mengulas lanjut, Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, Johor tidak perlu untuk bereksperimentasi kerana pentadbiran 17 bulan kerajaan negeri ketika ini telah mengemukakan pelbagai ikhtiar dan inisiatif yang sudah dan sedang dilaksanakan.

“Jadi, saya minta Sanusi usahlah terleka dan terlalu berbangga dengan kemenangan partinya di Kedah, Kelantan dan Terengganu tempoh hari. Jangan bawa ‘loqlaq’ anda ke Johor. 

‘Ini bukan masa hendak bereksperimen, ini masa untuk Johor terus memacu agenda ‘Maju Johor’ yang digagaskan,” katanya selepas melancarkan Persatuan Meluncur Ais Johor Darul Ta’zim (JDTISA), di sini hari ini.

Mohd. Hairi turut mengingatkan Menteri Besar Kedah itu supaya jangan sesekali berani bermain sentimen dan menyentuh institusi diraja Johor.

“Di Johor ada cara Johor. Bangsa Johor ada identiti tersendiri dan politik di sini juga ada caranya yang tidak terikut dengan negeri lain. Jangan terlalu taksub bermain persepsi, tapi raikan pesta demokrasi ini dengan idea dan solusi!,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN