JOHOR BAHRU: Pemuda Pakatan Harapan (PH) negeri ini bertekad untuk menarik sokongan kira-kira 60 peratus pengundi muda dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Ketuanya, Muhammad Taqiuddin Cheman berkata, pengundi muda yang berusia 40 tahun ke bawah memainkan peranan penting dalam kedua-dua PRK tersebut kerana mereka merupakan separuh daripada jumlah pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
“Kita tahu cabarannya, bukan mudah untuk menarik pengundi muda lebih lagi dalam PRK seperti ini, namun sekiranya kita mampu dapat 60 peratus undi golongan muda, kita yakin boleh menang di kedua-dua kerusi tersebut.
“Justeru, kita akan bekerjasama rapat dengan Pemuda Barisan Nasional (BN) bagi mencapai matlamat tersebut,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Pemuda UMNO Johor, di sini.
Sementara itu, Ketua Pemuda BN negeri, Noor Azleen Ambros memberitahu, pihaknya akan bekerjasama dalam memenangkan calon kerajaan perpaduan dalam PRK tersebut.
“Semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri sebelum ini, kami telah bekerjasama, namun ini kali pertama kami bersama-sama dalam pilihan raya di Johor.
“Kami mahu terjemahkan semangat perpaduan dengan bekerjasama dalam mengatur strategi dan jentera semasa PRK ini,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pada 9 September.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN