PRK: Johor larang aktiviti politik, kempen dalam masjid, surau - Utusan Malaysia

PRK: Johor larang aktiviti politik, kempen dalam masjid, surau

Mohd. Fared Mohd. Khalid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri melarang semua pihak termasuk calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram untuk berkempen di dalam masjid dan surau.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, larangan itu bagaimanapun tidak melibatkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi atau pihak yang mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Menurutnya, individu atau ahli politik bukan beragama Islam pula hendaklah mewakilkan kepada pegawai khas yang beragama Islam dalam program pengimarahan dengan syarat mematuhi garis panduan ditetapkan.

“Antara syarat itu termasuk mereka tidak dibenarkan sama sekali menyampaikan ucapan, menyempurnakan acara perasmian atau pelancaran, berceramah, memberi tazkirah, menjadi imam serta memakai pakaian berlogo politik.

“Sebaliknya, apa-apa acara melibatkan agihan bantuan atau sumbangan boleh dilaksanakan di luar kawasan masjid dan surau atau di tempat perhimpunan awam seperti dewan serbaguna, dataran, padang dan sebagainya.

“Sekiranya acara tersebut perlu dilaksanakan di kawasan masjid dan surau, maka penglibatan adalah terhad kepada individu beragama islam dan mematuhi garis panduan ditetapkan,” katanya.

Mohd. Fared berkata, mana-mana pihak termasuk ahli politik yang melanggar larangan berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Garis panduan tersebut dikeluarkan sempena PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang sedang berlangsung di negeri ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Ogos lalu sebagai hari penamaan calon,  5 September sebagai pengundian awal dan hari pengundian pula pada 9 September.

PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN