BACHOK: Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, Muhammad Syahril Saidi, 18, yang tular menjaga ibu sakit sehingga meninggal dunia teruja menerima lesen memandu motosikal (B2) dan kereta (D).
Ia disampaikan sendiri oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah yang hadir di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok, di sini hari ini.
Dia yang sedang mengikuti Program Asasi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Kampus Bachok mendapat tajaan penuh untuk mengambil lesen memandu.
Muhammad Syahril menyifatkan peluang bertemu dan bersalam semasa menerima lesen daripada pemimpin negara itu menjadi detik terindah dalam hidupnya.
“Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dan prihatin terhadap perjalanan hidup saya sebelum ini.
“Syukur, Allah permudahkan semuanya. Apa pun saya tetap merindui arwah ayah dan ibu tersayang yang menerima ketentuan tidak berkesempatan melihat kejayaan anaknya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Muhammad Syahril memberitahu, keprihatinan pengurusan Akademi Amkist Kandis membayar semula caj pengambilan lesen memandu dan menaja keseluruhan proses amat dihargai.
Katanya, dengan adanya lesen memandu, ia akan memudahkan segala urusannya selepas ini.
“Selepas ini dapatlah saya memberikan fokus kepada pengajian di Akademi Pengajian Islam UM Kampus Bachok.
“Walaupun jarak rumah dengan kampus hanya dua kilometer, saya mengambil keputusan untuk menetap di kampus,” ujarnya. – UTUSAN