SETIAP kanak-kanak perlu melakukan saringan zat besi bagi memastikan golongan itu bebas daripada anemia akibat kekurangan zat besi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, saringan itu boleh dilakukan di klinik kanak-kanak bagi memastikan mereka menjalani permulaan hidup yang
sihat seterusnya menyerlah dalam pelbagai bidang.
“Usaha ini seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-13 yang menekankan kepentingan penjagaan kesihatan dan akses infrastruktur termasuk di luar bandar.
“Kekurangan zat besi bukan perkara kecil kerana ia boleh menjejaskan tumbesaran fizikal, keupayaan pembelajaran dan keyakinan diri anak-anak,” katanya pada majlis pelancaran pameran ‘Galeri Kuat Zat Besi’ (Wall of Iron Strong) Dugro di IOI City Mall, Putrajaya, baru-baru ini.
Pameran itu memperhebat kempen nasional memerangi Anemia Kekurangan Zat Besi (IDA) yang dianjurkan oleh Danone Specialized Nutrition Malaysia.
Turut hadir, Pakar Perunding Kanan Pediatrik Endokrinologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Muhammad Yazid Jalaludin, Pengurus Negara, Danone Specialized Nutrition, Malaysia dan Singapura, Koh Kok Meng.
Nancy berkata, kementeriannya mengutamakan perlindungan ke atas kanak-kanak dan masyarakat.
“Marilah kita berganding bahu memastikan anak Malaysia tidak ketinggalan kerana masalah anemia dan membina generasi muda yang lebih kuat dan berdaya saing.
“Risiko paling tinggi ketika usia enam hingga 12 bulan iaitu 34.5 peratus. Risiko masih tinggi pada usia 12 hingga 36 bulan iaitu 27. 7 peratus. Angka ini bukan sekadar statistik, ia adalah cabaran yang sedang dihadapi oleh ramai keluarga di Malaysia, terutama ibubapa muda yang mahukan terbaik untuk anak mereka,” katanya.
Tambahnya, di lokasi seperti Putrajaya, kanak-kanak berisiko kekurangan zat besi berikutan kebanyakan ibu bapa yang bekerja tidak sempat memasak.
Ini menyebabkan anak-anak terpaksa makan makanan segera dan diproses.
Pameran ‘Galeri Kuat Zat Besi’ Dugro menampilkan kisah-kisah peribadi yang penuh inspirasi daripada rakyat Malaysia tersohor seperti juara Paralimpik Muhamad Ziyad Zolkefli, ahli bioteknologi Dr. Mahaletchumy Arujanan, serta jurutera nanoteknologi Fakhirah Khairuddin, sekali gus menyerlahkan kaitan langsung antara nutrisi awal kanak-kanak dengan kesihatan jangka panjang.
“Kisah hebat Galeri Kuat Besi menunjukkan betapa pentingnya makanan yang betul sejak usia awal. Kisah-kisah ini mengingatkan setiap insan ada cita-cita dengan impian luar biasa. Setiap anak ada potensi yang perlu dipupuk untuk masa hadapan mereka,” katanya.
Sementara itu, Koh Kok Meng berkata, pameran itu dapat meningkatkan kesedaran ramai mengenai kepentingan zat besi dan bahaya anemia.
“Kami menyeru kepada para pembuat dasar dan masyarakat agar komited membina Malaysia yang lebih kuat dan bijak melalui saringan sistematik dan intervensi nutrisi.
“Anemia Kekurangan Zat Besi adalah masalah yang boleh diselesaikan. Kita perlukan tindakan kolektif. Ini bukan sahaja kempen Danone, ia adalah kempen untuk seluruh Malaysia,” katanya.
SASAR KANAK-KANAK, WANITA HAMIL
Anemia adalah satu keadaan kesihatan di mana badan kekurangan sel darah merah yang sihat untuk membawa oksigen yang mencukupi ke seluruh tubuh.
Di Malaysia, anemia dikenal pasti sebagai satu masalah kesihatan awam yang semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan wanita hamil.
Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, didapati satu daripada dua kanak-kanak berumur bawah lima tahun (46.5%) mengalami anemia.
Ini menunjukkan hampir separuh daripada populasi kanak-kanak kecil di negara ini terjejas oleh masalah ini. Lebih membimbangkan lagi,satu daripada tiga kanak-kanak berumur bawah tiga tahun (30%) berisiko untuk mengalami anemia.
Dr. Muhammad Yazid berkata, statistik ini jelas menunjukkan anemia dalam kalangan kanak-kanak isu yang serius dan perlu diberi perhatian segera oleh pihak berwajib.
“Kajian yang dikenali sebagai IRON STRONG Study pula mengenal pasti kekurangan zat besi punca utama anemia dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia. Kekurangan zat besi boleh berlaku disebabkan oleh pemakanan yang tidak seimbang, pengambilan makanan rendah zat besi atau masalah penyerapan nutrien dalam tubuh.
“Justeru, langkah-langkah pencegahan dan intervensi awal amat penting untuk menangani masalah ini.
“Kajian menunjukkan kanak-kanak yang mengalami Anemia Kekurangan Zat Besi (IDA) mempunyai skor IQ 13 peratus lebih rendah. Kekurangan zat besi juga boleh memberi kesan yang tidak dapat dipulihkan pada perkembangan otak,” katanya.
Katanya, zat besi penting untuk otak kerana ia membekalkan sumber tenaga, mempercepatkan pemprosesan, menyokong sambungan sel-sel otak dan membantu pembentukan isyarat otak.
Golongan wanita hamil juga tidak terkecuali daripada risiko anemia.
Berdasarkan data daripada sektor Kesihatan Ibu dan Anak, 1 daripada 5 wanita hamil (19.3%) dilaporkan mengalami anemia, daripada sampel kajian yang melibatkan 1,201 orang responden.
Keadaan ini boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan ibu dan perkembangan janin, termasuklah risiko kelahiran pramatang dan berat badan lahir yang rendah.
“Antara cadangan yang boleh dilaksanakan termasuklah mempertingkat kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan pemakanan berkhasiat, penyediaan makanan yang kaya dengan zat besi seperti daging merah, hati ayam dan bayam serta program saringan dan makanan tambahan zat besi secara berkala kepada golongan berisiko,” katanya.
ALAT SARINGAN TIDAK INVASIF
Ujian saringan bagi mengesan tahap zat besi kini dijalankan tanpa menyakitkan dan hanya menggunakan peranti tidak invasif sebagai alternatif kepada ujian darah.
Ujian ini lebih mesra kanak-kanak, mudah dan menjimatkan masa.
“Selain itu, penilaian mengenai pengambilan zat besi daripada diet melalui soal selidik dalam talian juga boleh dilakukan membabitkan enam soalan berkaitan. Kaedah ini juga lebih mudah dan cepat dengan keputusan serta merta. Ia boleh dipercayai, berdasarkan garis panduan WHO dan data pemakanan tempatan.
“Konsensus Pakar mengenai Saringan dan Pengurusan Anemia Kekurangan Zat Besi (IDA) dalam kalangan Kanak-kanak, Pakar kesihatan ibu dan anak dari ISEA, mencapai kata sepakat mengenai cadangan untuk saringan, pengurusan, dan pencegahan IDA dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.
Anemia perlu dikesan awal untuk mengurangkan kesan buruk terhadap kesihatan.
Semua kanak-kanak berumur satu hingga lima tahun perlu menjalani saringan anemia setiap tahun.
Fortifikasi makanan juga perlu diperkenalkan untuk mengurangkan risiko IDA.
Kesimpulannya, anemia bukan sahaja menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak, malah boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan dan produktiviti negara.
Oleh itu, kerjasama antara pihak kerajaan, komuniti dan individu sangat diperlukan untuk menangani masalah anemia dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya golongan kanak-kanak dan wanita hamil.-UTUSAN










