KUALA LUMPUR: Di sebalik 68 tahun kemerdekaan telah dicapai, masih ramai rakyat di negara ini yang berjuang atas kapasiti masing-masing namun tanpa sebarang pengiktirafan dan perhatian wajar.
Mereka sanggup berpanas, berhujan dan berkorban masa demi mendidik anak bangsa dan mencari rezeki buat keluarga.
Tidak berlebihan untuk menganggap mereka juga menjadi tulang belakang kepada kemerdekaan negara yang telah dicapai selama ini.
Seorang guru di pedalaman Sabah, Shafiqah Maddashid, 27, berkata, merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajahan tetapi juga kebebasan ilmu yang mampu mengubah masa depan anak bangsa.
“Merdeka merupakan sebuah kejayaan apabila murid-murid di sini berani berusaha untuk berjaya walaupun jauh dari bandar dan kemudahan yang lengkap,” katanya kepada Utusan Malaysia
Tambahnya, cabaran mendidik pelajar di pedalaman bukan sesuatu yang mudah.
Katanya, kekurangan kemudahan asas yang lengkap seperti jaringan internet, buku dan peralatan menjadi halangan utama, namun ketekunan dan sokongan komuniti setempat menjadi sumber kekuatan untuk terus berbakti kepada negara.
Menurut Shafiqah, dengan pelbagai cabaran dihadapi, beliau tidak pernah menjadikan itu alasan untuk berputus asa.
“Guru pedalaman adalah wira senyap yang membina negara melalui pendidikan. Kejayaan kami dilihat apabila murid berjaya membaca, menulis dan melangkah mencapai kecemerlangan,” katanya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Sogo-Sogo, Telupid.
Sementara itu, seorang peniaga pasar malam, Tarhamiz Hairul, 27, berkata, kemerdekaan bukan hanya diukur dengan keamanan negara tetapi peluang untuk mencari rezeki dengan cara yang sah dan adil di tanah air sendiri.
“Merdeka bagi saya merupakan sebuah kebebasan dan keadilan tanpa melanggar undang-undang,” katanya yang berniaga pakaian terpakai di pasar malam di Muar, Johor.
Tambahnya, walaupun berdepan cabaran cuaca yang tidak menentu hingga menjejaskan jualan namun dia tetap tabah.
Menurutnya, kenangan saat awal menceburi bidang perniagaan merupakan satu perkara yang sukar kerana perlu melalui pelbagai prosedur mendaftar lesen dan permit.
“Mula-mula memang rasa susah namun lama-kelamaan saya faham kenapa semua itu ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, dia berbangga kerana dapat berniaga secara sah mengikut garis panduan ditetapkan oleh kerajaan. – UTUSAN










