Nassuruddin, Fadzli pimpinan baharu Kelantan - Utusan Malaysia

Nassuruddin, Fadzli pimpinan baharu Kelantan

Mohd. Nasuruddin Daud
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Me­ranti, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan ke-19 bagi penggal ke-15 semalam.

ADUN Temangan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan pula me­ngangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Besar, sekali gus melengkapkan gandi­ngan tokoh agamawan dan teknokrat dalam dua jawatan ter­tinggi negeri itu.

Mohd. Nassuruddin, 58, Ke­tua Penerangan Pas Kelantan dan Mohamed Fadzli melafaz sumpah memegang jawatan di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad IV di Istana Negeri.

Mohd. Nassuruddin me­ngambil alih jawatan itu daripada Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang membuat keputusan untuk berundur atas faktor kesihatan manakala Mohamed Fadzli pula mengambil alih jawatan daripada Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Pada penggal lalu, Mohd. Nassuruddin memegang jawatan Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta. Beliau yang berpendidikan Universiti Al-Azhar mula menjadi ADUN Meranti sejak tahun 1995 hingga kini.

Sepanjang menjadi ADUN, Mohd. Nassuruddin turut dilantik sebagai Timbalan Spea­ker DUN Kelantan pada tahun 2005 hingga 2008, sebelum naik pangkat menjadi Speaker pada penggal berikutnya (2008 hingga 2013).
Mohamed Fadzli yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri itu pula mempertahankan kerusi DUN Tema­ngan sejak 2008.

Beliau adalah lepasan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan lepasan Doktor Falsafah di Universiti of Birmingham, United Kingdom.

Sementara itu, Penasihat Koperasi Dewan Melayu Kelantan Bhd., Dr. Mohd. Fazlan Gha­zali berkata, pihaknya berharap Menteri Besar baharu itu dapat membawa perubahan baharu dalam pentadbiran negeri ini.

Katanya, perkara-perkara me­libatkan soal kepentingan rakyat terutamanya air perlu diberikan perhatian khusus.

“Air merupakan keperluan utama penduduk di negeri ini. Sudah lama ‘menderita’ de­ngan masalah ini.
“Jadi, besar harapan kami agar masalah itu dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN