KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan representasi kedua agar Jabatan Peguam Negara (AGC) mengkaji enam pertuduhan pecah amanah harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion yang dihadapinya bersama-sama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah.
Representasi pertama bekas Perdana Menteri ditolak tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, pihak pendakwaan menerima representasi Najib minggu lalu yang dikemukakan melalui firma guaman yang mewakilinya, Tetuan Shafee & Co.
Ujar beliau, representasi Najib melibatkan jumlah dokuman yang banyak dan sama dengan lampiran dalam representasi kedua yang dikemukakan oleh Mohd. Irwan.
Muhammad Saifuddin berkata, sehubungan itu pihaknya diarahkan untuk memohon satu lagi tarikh sebutan dalam tempoh dua bulan bagi membolehkan Peguam Negara mempertimbang representasi berkenaan.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian menetapkan 12 September ini untuk sebutan kes bagi memaklumkan perkembangan representasi tersebut.
Semalam sepatutnya ditetapkan untuk status representasi kedua Mohd. Irwan yang turut memohon agar enam pertuduhan tersebut digugurkan oleh AGC. Representasi itu dikemukakan pada Mac lalu.
Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Mohd. Irwan selaku tertuduh kedua tiada bantahan terhadap penangguhan tersebut.
Sementara itu, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib juga memohon tempoh penangguhan selama dua minggu.
Pada 3 Mac 2022, Hakim Muhammad Jamil menolak permohonan Najib, 70, dan Mohd. Irwan, 67, agar mereka dilepas tanpa dibebaskan daripada semua pertuduhan atas alasan pihak pendakwaan bersedia untuk menjalankan kes.
Pada 3 April lalu, mahkamah diberitahu, prosiding kes pecah amanah mereka yang sepatutnya bermula pada hari tersebut, ditangguhkan selepas pendakwaan memaklumkan terdapat perkembangan baharu.
Mahkamah turut dimaklumkan, wujud perbincangan melibatkan penyelesaian antara kerajaan dengan firma pelaburan Abu Dhabi, bagi dana yang sama dan ia merupakan subjek yang serupa bagi kes tersebut.
Pada Februari lalu, media melaporkan Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan 1MDB telah mencapai satu penyelesaian mengenai pertikaian mereka dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS). – UTUSAN










