Muda, PSM tidak harap buat kejutan

Muda, PSM tidak harap buat kejutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti-parti politik kecil yang dianggap sebagai kuasa ketiga dalam Pilihan Raya Nege­ri (PRN) mengakui tidak mampu memberi kejutan besar sehingga mem­boleh­kan mereka men­jadi kerajaan negeri.

Dengan bertanding sebilangan kecil kerusi di 245 DUN, parti-parti politik itu akur tidak dapat menembusi kubu kuat gabungan politik gergasi Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kehadiran parti-parti kecil dapat memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan.

“Saya mahu Muda diberi peluang sebab kita tahu di peringkat Persekutuan, negeri, ahli Parlimen, ketua kampung semuanya PH. Saya mahu proses semak dan imbang diperkasa. Dengan adanya Muda, di sini kami akan pastikan janji-janji parti gergasi ini tidak dipenuhi, maka kami akan bersuara menuntutnya.

“Saya katakan kepada ahli-ahli parti dan calon, jangan terlalu yakin kerana ini mandat rakyat. Sebab itu reformasi kami bawa ialah pastikan mana-mana blok politik yang menang, perlu tunaikan reformasi ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

MICHAEL JEYAKUMAR DEVARAJ

Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr. Michael Jeyakumar Devaraj berkata, dengan hanya bertanding empat kerusi DUN, mustahil membuatkan parti politik khususnya PH kalah hanya kerana penyertaan mereka menyebabkan undi berpecah.

Menurut beliau, PSM tidak akan berhenti memperkenal dasar-dasar seperti berjuang untuk golongan marhaen dan pencen warga emas walaupun keputusan PRN tidak memihak kepada parti mereka.

“Kami sedar peluang untuk menang adalah tipis, tetapi, jika PSM tidak bertanding, kami tidak boleh berkongsi visi, misi, dan polisi. Jadi, inilah cara kami beritahu rakyat. Akan datang suatu masa nanti di mana kejayaan bermula daripada sesuatu yang kecil.

“Maknanya, pengundi akan terhayun kepada parti kecil seperti PSM, tetapi tidak tahulah bila masa itu akan tiba. Jadi, fokus kami isu rakyat, elak main isu politik perkauman,” katanya.

Seramai 572 calon bertanding dalam PRN di enam negeri, 12 Ogos ini. Selain PH (138), BN (108) dan PN (246), parti lain yang akan bertanding ialah Parti Rakyat Malaysia (13); Muda (19); Parti Barisan Penang (2); PSM (4); Parti Utama Rakyat (1) dan Bebas (41). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN