JEMPOL: Lima sekeluarga berdepan cemas apabila rumah mereka di Felda Palong 6 di sini disamun empat lelaki bersenjatakan parang disyaki warga Indonesia, pagi tadi.
Dalam kejadian berkenaan, pasangan suami isteri warga emas berusia pertengahan 60-an bersama tiga anaknya berusia 22 hingga 26 tahun sedang tidur.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, kejadian berkenaan dilaporkan jiran mangsa dan hasil siasatan mendapati suspek dipercayai masuk melalui pintu belakang rumah yang tidak berkunci.
“Kira-kira pukul 4.15 pagi, semasa si bapa sedang tidur, mangsa menyedari empat lelaki bertopeng serta bersenjatakan parang berada di dalam bilik sambil mengacukan parang ke leher mangsa.
“Kemudian suspek telah mengikat mangsa dengan menggunakan kabel telefon dan kain selimut manakala isteri mangsa tidak diikat kerana tidak sihat dan tidak boleh berjalan. Dari slanga digunakan suspek, mangsa menyatakan seperti orang Indonesia dan terdapat bau minyak wangi yang kuat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Jelas Chang Hook lagi, tiga suspek lain telah menggeledah bilik mangsa dan telah mengambil wang tunai RM700, telefon bimbit milik mangsa dan isteri serta barang kemas milik isteri mangsa.
Menurutnya, tiga lagi mangsa iaitu anak warga emas berkenaan yang tidur di bilik berasingan dihimpunkan dalam satu bilik iaitu bilik utama dan telah diikat dengan kain dan kabel pengecas.
“Susulan kejadian ini mangsa telah mengalami kerugian kira-kira RM20,000 termasuk sebuah motosikal Honda EX5,” katanya.
Menurutnya, pihak polis kini mengesan kesemua suspek yang ketika kejadian menutup muka dengan baju, bersenjatakan parang panjang, berpakaian gelap serta tidak memakai sarung tangan yang dianggarkan berusia 30 hingga 40-an.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.-UTUSAN.