KANGAR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti pelancongan di negeri ini perlu diberi peranan dalam jawatankuasa yang dibentuk untuk membantu kerajaan negeri melakukan persiapan menyambut Tahun Melawat Perlis 2024/2025.
Setiap NGO dan komuniti tersebut masing-masing mempunyai kepakaran berasaskan ekopelancongan, sukan dan rekreasi, seni budaya, arkeologi dan pengeluar produk berasaskan pelancongan.
Presiden Persatuan Pelancongan dan Rekreasi Negeri Perlis (Trooper), Ku Hasrin Ku Abd. Rahman berkata, semua NGO dan komuniti terlibat perlu bergerak secara sinergi dengan matlamat untuk kebaikan pelancongan Perlis dengan lebih produktif.
Katanya, apa yang lebih penting peranan tersebut perlu diberi keutamaan kepada anak-anak Perlis yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang berkenaan.
Malah katanya, dalam kalangan komuniti dan NGO tersebut juga telah mendapat pengiktirafan dari pihak luar dan perlu dimanfaatkan oleh kerajaan negeri dalam membantu sektor pelancongan negeri ini.
“Kami telah merangka pelbagai aktiviti sepanjang tahun ini dan tahun hadapan dalam membantu persiapan selain promosi untuk Tahun Melawat Perlis. Antara aktiviti dan program yang telah dan akan dilaksanakan adalah Wang Gunung Trail Run, Perlis Ultra Maraton, IMT-GT Outdoor Festival yang bersifat antarabangsa dan beberapa lagi program besar lain.
“Secara tidak langsung ia turut membantu mempromosikan Tahun Melawat Perlis 2024/2025,” katanya di sini semalam. – UTUSAN










