Lelaki cedera ditembak suspek tidak dikenali

Lelaki cedera ditembak suspek tidak dikenali

KEADAAN kereta mangsa yang terbalik selepas ditembak suspek tidak dikenali dalam kejadian di Kampung Rhu Sepuluh, Penarik, Setiu, petang tadi. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Seorang lelaki cedera ditembak manakala dua terselamat selepas kereta dinaiki mereka dikejar dalam kejadian di Kampung Rhu Sepuluh, Penarik dekat sini, petang tadi.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, berkata, mangsa tercedera di bahagian bahu ditembak peluru tabur oleh suspek disyaki menggunakan senjata yang diubahsuai.

Menurut beliau, kejadian pada pukul 12.55 tengah hari itu berlaku ketika tiga orang mangsa yang juga pekerja syarikat pinjaman wang berusia 20 sehingga 30-an itu dari arah Kuala Terengganu menuju ke Penarik.

Jelasnya, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan mangsa telah dikejar dua kereta tanpa nombor pendaftaran selain turut ditembak menyebabkan kereta itu terbabas lalu terbalik.

“Pihak polis masih menyiasat motif kejadian dan mengenal pasti suspek terlibat memandangkan mangsa tidak dapat mengecam identiti suspek kerana cermin kereta yang gelap.

“Selepas kereta mereka terbalik, dua daripada mangsa lari ke arah sebuah kedai serbaneka di sebuah stesen minyak manakala seorang lari ke arah hutan berdekatan.

“Dua kereta suspek pula melarikan diri ke arah Utara (Besut),” katanya di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, pekerja kedai serbaneka, Umi Suhairah Mohd. Zaidu, 26, terkejut selepas dua mangsa dengan seorang daripadanya berlumuran darah masuk dan bersembunyi di dalam stor.

Menurutnya, lebih mencemaskan apabila dia diminta untuk mengunci pintu premis berkenaan dan menghubungi pihak polis menyebabkan dia dan seorang lagi pekerja keluar dari kedai.

“Saya terkejut apabila terdengar bunyi kenderaan terbabas sebelum dua orang lelaki tiba-tiba masuk ke dalam kedai dan meminta kami menelefon polis lalu bersembunyi di dalam stor.

“Walaupun mereka tidak bersenjata, saya bimbang akan keselamatan kami lalu keluar dan menghubungi pihak polis sehingga premis ini dikerumuni orang ramai.

“Dua lelaki tersebut bersembunyi agak lama di dalam stor sebelum pihak polis tiba dan membawa mereka keluar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya