BATU PAHAT: Laluan UMNO untuk diterima semula oleh rakyat masih berliku apabila hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, semalam.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkasi dalam hantaran menerusi laman Facebooknya berkata, UMNO semakin hilang sokongan orang Melayu apabila hanya mampu memenangi 19 kerusi atau kira-kira 18 peratus.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu mengakui bukan mudah bagi UMNO mencari formula baharu untuk menarik semula sokongan orang Melayu dan perlu terus memberi fokus terhadap agenda ekonomi rakyat dan negara.
“Kepimpinan UMNO tidak perlu panik seperti mahu tinggalkan kerajaan perpaduan. Mereka yang kalah dah berumur 45 tahun ke atas dalam PRN semalam jangan bertanding lagi dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Mohd. Puad menegaskan bahawa jawatan dalam parti bukan tiket percuma untuk dicalonkan sebagai calon, namun UMNO perlu menampilkan ‘ayam sabung’ tulen.
Menurutnya, menteri UMNO mesti menyelamatkan parti itu bagi mengelakkan rakyat meluat dengan tingkah laku UMNO, memerlukan naratif baharu dan perlu disampaikan kepada pengundi.
Daripada enam negeri yang terlibat dalam PRN itu, hanya Negeri Sembilan melihatkan solongan rakyat kepada UMNO masih kuat apabila memenangi 14 daripada 17 kerusi yang ditandinginya.
UMNO hanya menang dua kerusi di Pulau Pinang, Selangor (2), masing-masing satu di Kelantan dan Kedah serta dilihat ditolak sepenuhnya oleh pengundi di Terengganu. – UTUSAN