Konsep 'Pas For All' semakin diterima di Johor - Abdullah - Utusan Malaysia

Konsep ‘Pas For All’ semakin diterima di Johor – Abdullah

ABDULLAH HUSIN (empat dari kiri) bersama beberapa ahli DHPP Bahagian Pulai yang menyokong parti tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pas mengaku semakin mendapat sokongan ahli bukan Islam, khususnya di negeri ini apabila parti itu melancarkan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Bahagian Pulai sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen itu, 9 September ini.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, konsep diperjuangkan parti itu selama ini, iaitu ‘Pas For All’ semakin diterima rakyat berbilang kaum dan agama.

“Pas sedar kita mempunyai kekurangan dalam menyantuni masyarakat Cina dan India kerana kita tidak mempunyai jentera yang boleh memasuki kawasan berkenaan. Jadi, antara usaha dibuat adalah mewujudkan DHPP Bahagian Pulai.

“Ini langkah pertama Pas dalam menggerakkan usaha menyantuni masyarakat bukan Islam. Sokongan mereka amat penting kerana sebelum ini kita gagal menarik sokongan pengundi Cina khususnya di Pulai, disebabkan itu DHPP ini diwujudkan di sini,” katanya semasa melancarkan DHPP Bahagian Pulai serta penyerahan borang keahlian di Ibu pejabat Pas Johor, di sini.

Ketua DHPP Bahagian Pulai, Chiah Beng Lee, 53, pula memberitahu, setakat ini pihaknya telah mempunyai seramai 75 ahli yang terdiri daripada pelbagai komuniti seperti peniaga, pekerja swasta serta penuntut institusi pengajian tinggi.

“Matlamat kami untuk meningkatkan jumlah keahlian kepada lebih 100 ahli DHPP Bahagian Pulai dalam tempoh terdekat ini. Kami yakin bahawa Pas boleh menjadi satu platform politik baharu bagi masyarakat bukan Islam, termasuk di Johor.

“Kenapa tidak boleh sertai Pas kerana Malaysia terdiri daripada tiga kaum utama, iaitu Melayu, Cina dan India. Saya percaya kita semua sebuah keluarga dan selama ini telah berlaku perpecahan antara kita dan Pas adalah platform terbaik untuk kita kembali bersatu padu sebagai sebuah masyarakat yang harmoni,” katanya.

Seorang peniaga, Tan Chiao Wen, 39, tertarik untuk menyokong Pas kerana parti tersebut melakukan perkara-perkara yang diperkatakan.

“Saya sangat berterima kasih apabila Pas Bahagian Pulai bersetuju untuk menerima keahlian masyarakat bukan Islam ke dalam parti ini. Saya dan rakan-rakan masuk Pas kerana tertarik dengan pendekatan mereka yang bukan hanya bercakap soal kasih sayang dan perpaduan antara pelbagai masyarakat, tetapi buktikan dengan perbuatan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 26 Ogos, manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pada 9 September.

PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN