PORT DICKSON: Kementerian Pendidikan telah memulakan usaha dalam kerjasama rentas sempadan kementerian bagi menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran sains dan matematik.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) telah memberikan komitmen yang tinggi bersama Kementerian Pendidikan dalam mengangkat kembali bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Menurut beliau, malahan usaha menarik minat pelajar itu bukan sahaja membabitkan peluang, namun pemilihan subjek dan minat mengikut keperluan semasa perlu diteliti secara progresif.
“Sebenarnya kami telah menetapkan hala tuju STEM untuk Kementerian Pendidikan dan kami telah membuat intervensi, inisiatif khususnya bersama dengan Mosti. Insya-Allah dari semasa ke semasa, hala tuju STEM kami akan perkukuhkan lagi.
“Kita perlukan lebih banyak penglibatan daripada semua komuniti, input-input dan juga komitmen daripada ibu bapa khususnya untuk mendorong anak-anak meminati STEM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Pelancaran Gotong-Royong Madani Peringkat Negeri Sembilan serta Sambutan Jubli Intan Hari Ulang Tahun Bridged Pertama Infantri Malaysia, di Sekolah Kebangsaan Sri Rusa, di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Panglima Bridged Pertama Infantri Malaysia, Brig. Jen. Mohamad Noorlizam Shamsuddin itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meminta Kementerian Pendidikan menggunakan pendekatan baharu bagi mengatasi penurunan minat anak-anak dalam bidang sains dan matematik.
Langkah itu penting selepas kajian Kementerian Pendidikan mendapati minat anak-anak sekolah dalam kedua-dua bidang tersebut mulai menurun.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai situasi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN), Fadhlina memberitahu adalah penting untul calon-calon yang bertanding mengetengahkan pendidikan masing-masing bagi menarik perhatian pengundi.
“Zaman sekarang ini adalah zaman perlawanan idea, jadi penting untuk calon-calon ini kemukakan tawaran-tawaran mereka kepada rakyat. Tawaran-tawaran ini perlu menumpukan kepada kesejahteraan, kebajikan dan hala tuju setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing,” katanya.-UTUSAN.










