Kaji semula kurikulum TVET

Kaji semula kurikulum TVET

INSTITUT latihan kemahiran awam perlu memastikan graduan yang dihasilkan bukan sahaja tinggi kualiti kemahirannya tetapi juga mampu melahirkan usahawan dalam bidang perkhidmatan teknikal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu mengkaji semula kurikulum Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) de­ngan mengubah pendekatan lebih berfokus bagi menarik perhatian pelajar untuk menceburi program-program ditawarkan.

Pada masa ini, terdapat enam kementerian menyediakan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) yang menawarkan program TVET.

ILKA itu tidak termasuk politeknik, kolej komuniti dan kolej vokasional yang turut menyediakan pengajian TVET.

PENEMPATAN

Mengikut Kajian Pengesanan Graduan 2022, jumlah graduan yang belum bekerja bagi semua institusi tersebut berjumlah 4,686 orang selain 985 orang masih menunggu penempatan pekerjaan.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, timbul persoalan adakah pihak berkaitan merancang program yang berfokus atau secara umum sahaja yang akan menghasilkan graduan yang berpendapatan rendah.

Sejajar itu, menurut beliau, program-program TVET di pelbagai institusi kemahiran perlu dilihat semula secara serius untuk disesuaikan dengan zaman dan keperluan industri dan kemahuan masyarakat dengan menyediakan laluan kerjaya lebih tinggi.

Ini termasuk melahirkan graduan TVET yang mampu menjadi usahawan terutama dalam bidang perkhidmatan teknikal.

“Semua pihak berkepenting­an perlu memikirkan sejauh mana keperluan tenaga manusia berasaskan TVET dan peluang pekerjaan.

“Misalnya dalam bidang automotif, di mana kita perlukan bermula dari peringkat memasang kenderaan di kilang hingga perkhidmatan penyelenggaraan di bengkel.

“Begitu juga dalam bidang pertanian, industri pembuatan dan pemprosesan serta perkhidmatan kesihatan. Promosi besar-besaran dalam kalangan pelajar sekolah pelbagai bidang yang memerlukan TVET perlu dilaksanakan,” katanya di sini semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan lebih 70 pe­ra­tus atau 4,630 daripada 6,361 calon yang ditawar kemasukan ke Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) bagi sesi pertama tahun ini menolak melanjutkan pelajaran dalam pendidikan TVET.

Angka tersebut mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan Malaysia untuk melahirkan pekerja berkemahiran sekiranya institusi yang menawarkan pelbagai kemudahan dan pemberian elaun bulanan oleh kerajaan tidak menjadi pilihan belia.

MEMBIMBANGKAN

Lebih membimbangkan, jumlah permohonan untuk me­lanjutkan pelajaran di institusi itu juga menurun dalam tempoh tiga tahun iaitu tahun 2019 seramai 16,989 memohon, menurun kepada 7,496 pada 202 dan tahun 2021 seramai 9,833.

Bagaimanapun menurut Ahmad, ILKBS bukanlah satu-sa­tunya ILKA yang menjadi pilihan pelajar.

Justeru, katanya, promosi, kurikulum berfokus terutama mengikut lokasi dan bidang perlu diadakan.

Ini termasuk strategi pe­mer­kasaan bidang TVET, kurikulum, pengajaran, penge­tahuan dan kemahiran guru, inisiatif dan ganjaran kepada semua pi­hak perlu dilihat semula mengikut kesesuaian.

Katanya, langkah itu bagi menghasilkan generasi profesional dengan kemahiran tek­nologi tinggi kompetitif bukan sahaja sebagai pekerja tetapi boleh terlibat dalam usahawan mengikut bidang masing-ma­sing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN