ISKANDAR PUTERI: Johor berjaya menarik pelaburan bernilai lebih RM2 bilion dengan pembukaan sebuah Kampus Pusat Data GDS Hyperscale di Taman Teknologi Nusajaya, di sini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han berkata, perkara itu membuktikan Johor kekal sebagai antara destinasi utama pelaburan antarabangsa.
Katanya, kejayaan itu hasil kerjasama pelbagai agensi antaranya Invest Johor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
“Di pihak kerajaan negeri, kami mengalu-alukan kemasukan GDS ke Johor dengan memilih kami berbanding banyak lokasi lain yang munasabah di seluruh rantau ini.
“Kami melihat projek ini sebagai pengesahan terhadap daya tarikan Johor sebagai destinasi pelaburan antarabangsa dan domestik yang terkemuka, didorong oleh infrastruktur bertaraf dunia kami, persekitaran kawal selia mesra perniagaan serta kestabilan politik negeri yang berkekalan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian kampus pusat data berkenaan, semalam.
Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Tambah Ting Han, projek itu juga akan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi hiliran termasuklah di kawasan sekitar Taman Teknologi Nusajaya.
“Ia juga sudah tentu akan membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang menjadi keutamaan kerajaan negeri. Pelaburan ini memberi isyarat bahawa Johor mahu menjadi negeri yang progresif dan maju dari segi teknologi yang sentiasa mencari nilai tambah dalam pelaburan dibawa.
“Oleh itu, kami berharap akan ada lebih banyak projek seperti ini pada masa depan, kita juga akan bekerja dengan lebih keras untuk merealisasikan hasrat tersebut,” jelasnya lanjut.
Majlis pecah tanah kampus pusat data berskala besar dengan jumlah keluasan kira-kira 22,500 meter persegi itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 24 April tahun lalu.-UTUSAN










