Ibu tunggal cekal jaga anak sakit jantung, paru-paru kronik

Ibu tunggal cekal jaga anak sakit jantung, paru-paru kronik

SHAHMIZA Yaakob tabah menjaga Nur Iman Qaseh Az Zahra Mohd. Haiman menderita sakit jantung dan paru-paru yang hanya mampu terlantar di atas katil sejak dua tahun lalu di kediamannya di Kampung Kurnia di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Kalau boleh saya nak lihat anak saya sihat seperti dulu, walaupun doktor cakap peratusan untuk pulih seperti sediakala sangat tipis,” demikian jelas seorang ibu tunggal yang hidup cekal berdepan dengan kesukaran menjaga seorang anak yang menderita sakit jantung dan paru-paru kronik.

Ibu tunggal terbabit, Shahmiza Yaakob, 41, yang tinggal di Kampung Kurnia di sini tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menanggung empat orang anak lagi termasuk seorang daripadanya yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Shahmiza berkata, lebih RM1,000 sebulan diperlukan hanya untuk menguruskan anak bongsunya, Nur Iman Qaseh Az Zahra Mohd. Haiman yang kini berusia 11 tahun.

“Sebelum Qaseh dikesan menghidap penyakit jantung dan paru-paru, dia merupakan seorang kanak-kanak aktif dan ceria. Semuanya berubah selepas dia diserang sawan ketika berusia sembilan tahun.

“Kami membawanya ke klinik berhampiran untuk rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bagi pemeriksaan lanjut. Di HTAA, Qaseh ditidurkan dua minggu sebelum doktor memaklumkan dia tidak lagi boleh kembali sihat seperti biasa,” katanya di sini semalam.

Shahmiza berkata, sejak itu Qaseh hanya mampu terlantar di atas katil dan mengharapkan alat bantuan pernafasan.

Jelasnya, kos untuk menyediakan susu khas bagi anaknya itu mencecah RM800 sebulan dan belum termasuk kos membeli lampin pakai buang serta peralatan lain untuk operasi mesin bantuan pernafasan.

“Qaseh menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Zakat Pahang juga memberikannya bantuan bulanan RM500. Dengan itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban kami.

“Namun begitu, bil elektrik di rumah yang kami tinggal sekarang banyak tertunggak dan sudah beberapa kali terima surat amaran supaya menjelaskan bil tersebut.

“Jumlahnya bukan sikit, berbelas ribu juga dan saya akui memang tak mampu nak bayar. Kalau (bekalan elektrik) kena potong, memang bermasalah untuk Qaseh kerana mesin digunakan itu memerlukan kuasa elektrik untuk berfungsi,” katanya.

Shahmiza berkata, kadang-kadang dia terpaksa meminjam wang daripada kenalan untuk menyediakan susu khas buat Qaseh.

“Saya bukannya tak mahu bekerja, memang saya nak tapi keadaan Qaseh tidak mengizinkan saya meninggalkan rumah kerana ada ubat yang digunakan perlu dibancuh dan diuruskan dengan teliti,” katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga Shahmiza dan Qaseh boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0611241 1000 38077 atas nama Mohamad Haizad Shahrilman Mohd. Haiman.

Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang keperluan Qaseh pula boleh menghubungi talian 0138312023.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN