Ibu mengandung meninggal dunia, nahas motosikal langgar anjing - Utusan Malaysia

Ibu mengandung meninggal dunia, nahas motosikal langgar anjing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seorang ibu dan kandungannya berusia enam bulan meninggal dunia selepas dua jam bertarung nyawa akibat terlibat kemalangan di Jalan Keru-Batu Belang, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, nahas berlaku kira-kira pukul 12.05 tengah malam melibatkan sebuah motosikal jenis Modenas Dinamik yang ditunggang oleh wanita yang berusia 35 tahun itu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati penunggang motosikal tersebut dalam perjalanan dari kedai makan di Jalan Tampin-Gemas ke rumahnya di Kampung Keru Hulu.

“Sebaik sampai di Jalan Keru-Batu Belang, dipercayai mangsa telah melanggar seekor anjing menyebabkan hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan lalu terjatuh. Akibat kemalangan, mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Tampin untuk rawatan segera.

“Kira-kira pukul 2.10 pagi, mangsa telah meninggal dunia semasa menerima rawatan. Mayat mangsa dihantar ke bahagian Forensik Hospital Tampin untuk pengendalian bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ujar Anuwal, orang ramai mempunyai maklumat berkenaan kemalangan terbabit diminta untuk tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin atau menghubungi talian 06-4412502 bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya