Ibu gagahkan diri tatap jenazah anak kali terakhir

Ibu gagahkan diri tatap jenazah anak kali terakhir

SUHARNALIZA Shaari (kanan) dan Hatun Bakar (duduk) menunggu ketibaan van jenazah di Masjid Ar-Rahimiah, Klang, Selangor, semalam. – UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Biarpun uzur, Hatun Ba­kar, 81, menggagahkan diri se­mata-mata mahu melihat je­nazah anaknya Allahyarham Sharipuddin Shaari, 53, buat kali terakhir di Masjid Ar-Rahimiah di sini, semalam.

Ibu kepada pemandu e-hai­ling itu yang sebak dan lemah dibantu beberapa ahli keluarga ketika melihat ketibaan van jenazah di masjid tersebut.

Adik mangsa, Suharnaliza, 44, berkata, keluarga sebelum ini terpaksa merahsiakan berita duka itu daripada ibu mereka.

“Kami ketika itu tidak mahu emosinya terganggu kerana dia terlalu merindui arwah abang. Namun, sehari selepas nahas itu kami sekeluarga terus bergegas ke Selangor bagi menuntut jenazah arwah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Suharnaliza, Allahyarham Sharipuddin sebelum kejadian kerap menghubungi­nya dengan berpesan supaya menjaga ibu.

“Pada awal bulan ini, saya dihubungi abang tiga kali berturut-turut dan perbualan kami amat mesra sehingga hampir 30 minit.

“Pesanan yang kerap diulanginya adalah menjaga ibu dan saya tidak sangka ia petanda awal pemergian arwah buat selamanya,” katanya.

Tambah Suharnaliza, ketiadaan arwah merupakan satu kehilangan besar kerana mereka hanya ada tiga beradik termasuk kakaknya, Ramlah, 56.

Jenazah Allahyarham Shari­puddin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, semalam.

Allahyarham antara 10 mang­sa yang maut dalam nahas jet terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.

Anak kelahiran Kampung Rani Estet, Arau itu meninggalkan seorang balu, Suriana Muda, 43, dan dua anak iaitu Muhammad Sharul Izuan, 16, serta Nur Izzara Arissya, 9.

Sementara itu, hadiah buat anak bongsunya, Nur Izzara Arissya sempena hari lahir yang kesembilan menjadi kenangan untuk keluarga Sharipuddin.

Menurut Suriana, suaminya sempat membelikan hadiah tetapi tidak sempat untuk me­nyambutnya pada 27 Ogos ini.

Bagaimanapun, dia memilih untuk merahsiakan hadiah istimewa itu dan mahu memberikan kepada anak selepas emosi­nya lebih stabil selepas ini.

“Arwah juga sudah belikan hadiah untuk diberikan kepada anak bongsu kesayangannya itu tapi apakan daya tidak kesampaian hasrat untuk meraikan bersama-sama.

“Hadiah apa yang dibeli­kan arwah suami untuk anak kami itu biarlah kami sahaja yang tahu, tapi saya rancang untuk berikan kepada Izzara apabila emosinya lebih stabil selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham Sharipuddin di Tanah Perkuburan Masjid Sultan Hisamuddin di sini.

Jelas Suriana, mereka sekelu­arga tidak pernah melepaskan peluang untuk menyambut hari lahir anak bongsu daripada dua beradik itu setiap tahun.

Bercerita lanjut, Suriana yang merupakan suri rumah sepenuh masa itu berkata, arwah suaminya tidak pernah menunjukkan sebarang tanda bahawa dia akan pergi buat selamanya.

“Tak ada pula yang nampak lain cuma suami nampak lebih manja sejak akhir-akhir ini dan seperti enggan berenggang de­ngan saya.

“Dan kali terakhir kami berhubung (pada Khamis) adalah melalui panggilan telefon dia beritahu sedang berhenti sebentar untuk minum,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN