PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook meluahkan rasa kesalnya dan kehilangan rasa hormat terhadap bekas Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy kerana didakwa menipu.
Anthony yang juga Menteri Pengangkutan itu menafikan dakwaan Ramasamy bahawa beliau tidak mempunyai ‘budi bahasa’ untuk memaklumkan keputusan tidak menamakan beliau sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Menurut beliau, dirinya bersama Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming ke Pulau Pinang sebelum ini bagi bertemu secara bersemuka dengan setiap penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak dicalonkan semula dalam PRN iaitu sebelum majlis pengumuman calon parti tersebut.
“Pertemuan itu berlangsung di Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang dan turut disertai oleh Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. Saya sendiri memaklumkan keputusan parti kepada mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk memberikan pandangan balas. Sesi tersebut berlangsung selama lebih satu jam (sehingga) menyebabkan saya terlewat dalam majlis pengumuman calon.
“Saya berasa amat kesal dengan tindakan Ramasamy yang sanggup membohong dalam perkara ini. Pembohongan ini menghilangkan semua rasa hormat saya kepada beliau sebagai bekas pensyarah saya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Ramasamy yang juga penyandang kerusi DUN Perai itu mengumumkan keluar daripada parti DAP berkuat kuasa serta-merta hari ini.
Timbalan DAP Pulau Pinang itu berkata, beliau sudah menghantar surat keluar parti itu kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, pukul 8.24 pagi ini serta kepada Pengerusi DAP negeri yang juga Ketua Menteri, seminit kemudian.
Pada PRN Pulau Pinang kali ini, Ramasamy merupakan antara lima Exco kerajaan negeri yang digugurkan daripada senarai calon DAP daripada mempertahan kerusi DUN Perai yang dimenanginya sejak 2008.
Sementara itu, Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban itu menegaskan sesiapa sahaja meninggalkan parti selepas tidak dicalonkan semuala ada orang yang tidak Ikhlas dan setia kepada perjuangan parti.
“Mereka hanya menunggang parti demi kedudukan dan jawatan. Apabila tiada lagi jawatan, parti ditinggalkan,” katanya.-UTUSAN










