KUALA LUMPUR: Amalan meminta komisen daripada pemaju yang sudah sebati di negara ini perlu dihentikan kerana ia akan menghancurkan negara dan menjejaskan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, budaya memberi dan meminta komisen yang menguntungkan satu pihak itu memerlukan tindakan untuk menghentikannya sebelum melarat termasuklah pemberian komisen kepada mana-mana menteri atau parti politik.
Anwar berkata, beliau faham ramai yang marah apabila membangkitkan perkara tersebut, namun apa yang diberitahu itu adalah perkara yang benar daripada pemaju.
“Saya faham ramai yang marahkan saya bila sebut hal ini tapi semua orang tahu. Tanyalah pemaju di Wilayah Persekutuan adakah saya betul atau salah dan adakah saya melebih-lebih atau beritahu perkara sebenar.
“Memang pada peringkat awal apabila saya ambil alih tanggungjawab Wilayah Persekutuan ini, saya memang menghentikan projek-projek baharu kerana saya tidak mahu meneruskan amalan-amalan lama.
“Di mana tiap kali diubah suai plot ratio atau kelulusan itu ada hubungan dan habuan politik. Ini amalan jijik yang merosakkan dan rasuah ini mesti dihentikan. Sebab itu saya tangguhkan peringkat awal.
“Apabila kita dah siapkan struktur dan kerangka Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, maka kita harus teruskan dan tidak ada alasan untuk perlahankan tahap kelulusannya sebagai sahaja memenuhi syarat.
“Kalau jumpa dengan pemaju-pemaju, semuanya kata amalan (meminta komisen) memang begitu (untuk) kelulusan, walaupun apabila saya sebut ini dia kata dendam, fitnah dan sebagainya. Ramai (juga) rakyat yang mendukung cara begitu.
“Jadi saya bagitahu di sini sebab amalan itu (sudah) menjadi sebati. Kalau kita bagi RM10 ke RM15 juta kepada orang politik dan parti dia. Maknanya untuk rakyat di bawah dia potong RM15 juta. Kalau tidak ada tekad yang jelas di kalangan pimpinan untuk bersihkan, negara kita akan rosak.
“Saya faham ia mengambil masa untuk memberi kefahaman kepada rakyat, ini tidak nampak, bercakap soal bersih, soal menyantuni rakyat tetapi sakau dan saya sebut, hampir tanpa terkecuali jumpa pemaju (mengatakan) itu amalannya. Saya kata ini harus dihentikan.
“Sebab itu kalau lihat kelulusan sekarang, boleh tambah kawasan hijau, rumah rakyat, gerai. Pasal apa hal ini tidak boleh dilakukan? Kerana keuntungan itu dipindahkan kepada orang-orang tertentu,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Madani Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di Desa Tasik Sungai Besi.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri yang berada di bawah penguasaan pembangkang bergantung kepada sikap mereka.
“Kalau mereka mahu kerjasama, saya akan ikut kaedah bukan sahaja dari segi kenyataan (tetapi) juga tindakan. Saya nak pastikan semangat tatakelola itu betul.
“Mahu wang untuk orang miskin, bagi pada orang miskin jangan diagihkan ke lain. Saya akan tegas bab ini,” katanya.
Sementara itu, Anwar menggesa pihak-pihak tertentu yang menyalahkan orang Melayu dan fahaman mereka ekoran keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu dihentikan.
Jelasnya, beliau tidak setuju dengan tindakan tersebut apabila cuba menyalah dan menghukum pengundi.
“Ia mengambil masa, saya tidak setuju (dengan) sesetengah pihak menyalahkan orang Melayu, kefahaman mereka, bahawa mereka itu mudah terpengaruh dengan hasutan kaum dan agama. Menakut-nakutkan (orang) Cina dan DAP, saya tidak setuju.
“Ini maknanya, satu cabaran untuk kita menyantuni dan menjelaskan kepada mereka. Madani adalah satu konsep lebih menyeluruh, dia tak nampak ratus-ratus juta, bilion-bilion yang lain,” jelasnya. – UTUSAN










