Hadapi siasatan SPRM jika tidak bersalah - Anwar - Utusan Malaysia

Hadapi siasatan SPRM jika tidak bersalah – Anwar

ANWAR Ibrahim sewaktu berucap pada program Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan di Tapak Letak Kereta, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban malam tadi.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, mana-mana pihak yang sedang berhadapan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya berdepan dengan siasatan itu sekiranya merasakan diri mereka tidak bersalah.

Beliau menjelaskan, meskipun kerajaan bertegas dalam isu rasuah, beliau memberikan jaminan bahawa pihak yang terlibat tidak akan dizalimi atau dianiaya.

“Apabila SPRM siasat, bagaimana bersih? kalau tidak salah, hadap. Saya mahu beritahu, betul kita minta tegas tetapi jangan zalim, jangan aniaya, kita balik bertanggungjawab kepada Allah SWT,” katanya sewaktu berucap pada program Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan di Tapak Letak Kereta, Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini malam tadi.

Anwar dalam pada itu mendedahkan bahawa beliau ada menerima laporan daripada pihak SPRM berhubung menantu kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Muhammad Adlan Berhan, 48, yang kini berada di luar negara.

Ia berkaitan Muhammad Adlan dan seorang peguam, Mansoor Saat, 69, yang kini dicari SPRM bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau dimaklumkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bahawa Muhammad Adlan tidak pulang ke tanah air seperti yang dijanjikan selepas diberikan kebenaran untuk ke luar negara.

“Dalam perjalanan saya dari Sungai Long ke Chuah, Port Dickson, saya terima panggilan dari KP SPRM, ini kenyataan sebab menantunya (Muhyiddin) lari. Saya tanya lari di mana, beliau sebut dan kes ini kecil atau besar dan beliau katakan kes ini besar dan sudah disiasat lama.

“Sudah beri notis? sudah, kemudian bagaimana dia boleh keluar? dia kata nak keluar nak balik semula, jadi dia tidak balik, apabila tak balik apa jadi? kita beri notis la, itu tidak apa, proses siasatan, hakim memutuskan kita belum tahu cuma dia kata ada kes,” katanya.

Azam hari ini memberitahu, SPRM akan meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan Muhammad Adlan dan Mansoor yang kini berada di luar negara.

Beliau berkata, pihaknya percaya kedua-dua individu terbabit di luar negara namun tidak dapat mendedahkan keberadaan mereka. 

Tambahnya, SPRM akan memohon notis merah kepada Interpol supaya menyenaraikan kedua-dua individu terbabit jika masih gagal dikesan. 

Terdahulu, SPRM berkata, suruhanjaya itu cuba menghubungi dua lelaki terbabit yang juga seorang ahli perniagaan dan peguam, secara terus dan menerusi peguam masing-masing namun kedua-dua mereka enggan tampil memberi kerjasama.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN