MUAR: Barisan Nasional (BN) mengakui kekuatan Pas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dalam pilihan raya kecil (PRK) kali ini.
Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di hadapan jentera UMNO Bahagian Bakri mengingatkan, BN dan Pakatan Harapan (PH) perlu mengelak ‘kebanjiran’ Pas masuk ke Johor.
Beliau berkata, jentera Kerajaan Perpaduan perlu bekerja keras memenangkan calon PH, Ir. Nazri Abdul Rahman di DUN berkenaan bagi mengelakkan Pas mendapat kerusi kedua selepas DUN Maharani ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.
“Tetapi kita mesti elakkan kebanjiran daripada Pas masuk ke Johor, cukuplah satu ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pas di Maharani. Kita tidak mahu satu lagi ADUN Pas di Simpang Jeram.
“Oleh sebab itu, pakar banjir (Nazri) mesti tolak banjir baharu, kita mesti pastikan bahawa Kerajaan Perpaduan di antara BN dan PH ini akan membanjiri seluruh Johor sebagai negeri perpaduan terbaik.
“Kita tahu bahawa pada PRN yang lalu Pas telah mendapat satu kerusi dan kita tahu di Simpang Jeram ini tapak mereka cukup kuat. Kita tahu juga di Simpang Jeram ini Parti Amanah Negara (Amanah) diwujudkan sebab mereka adalah serpihan Pas.
“Saudara Nazri sebagai calon mewakili Amanah yang dulunya pernah dalam Pas. ceritakan sebenarnya kepada pengundi-pengundi di Simpang Jeram ini bagaimana Pas telah memanipulasikan isu agama, isu akidah dan isu rakyat untuk kemenangan,” katanya yang juga Presiden UMNO.
PRK DUN Simpang Jeram menyaksikan pertembungan tiga penjuru selepas seorang calon Bebas mengemukakan kertas penamaan di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, pagi tadi.
Calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd. Mazri Yahya tiba kira-kira pukul 8.35 pagi dan mengemukakan kertas penamaan pada pukul 9.04 pagi.
Ia kemudian disusuli Nazri yang tiba kira-kira pukul 9.00 pagi diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta ratusan penyokong PH dan BN.
Nazri mengemukakan kertas penamaan pada pukul 9.08 pagi diikuti calon Bebas, S. Jeganathan pukul 9.18 pagi.
Tambah Ahmad Zahid, walaupun menyedari Simpang Jeram antara kubu kuat Pas, namun ia bukanlah alasan apabila kawasan itu pernah dimenangi Amanah selama dua penggal.
Ujarnya, dengan pengalaman Nazri sebagai Ketua Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Muar (MPM) lebih 30 tahun, beliau yakin kerusi itu dapat dikekalkan, apatah lagi PH menerima bantuan daripada jentera BN.
“Oleh itu, semua jentera BN di kedua-dua PRK hendaklah berganding bahu dengan calon untuk bergerak menemui seberapa banyak pengundi,” katanya. – UTUSAN