KUALA NERUS: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading, Omar Adam bertekad mahu meneruskan kesinambungan pembangunan dan sosio ekonomi di kawasan itu sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Bekas Timbalan Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Berang itu berkata, kedudukan kawasan DUN itu yang terletak di pinggir bandar memerlukan fokus khusus dalam isu infrastruktur asas, kawasan perumahan, ruang niaga dan jaringan jalan kampung yang lebih selesa.

Menurut beliau, wakil rakyat BN sebelum ini iaitu Datuk Abdul Rahin Mohd. Said telah berusaha membangunkan DUN Buluh Gading dengan sebaiknya diberi mandat pengundi tahun 2004 hingga 2013.
“Apa yang kita lihat hari ini seperti Kompleks Usahawan Terengganu, jalan raya empat lorong yang menghubungkan Bukit Jong ke Losong, kawasan perumahan Taman Cikgu Ismail Yusof, sebuah sekolah menengah di Jeram dan masjid-masjid baharu adalah antara pembangunan yang berjaya dilaksanakan sepanjang pemerintahan BN.
“Hasrat saya ialah untuk meneruskan kesinambungan itu dengan lebih banyak perancangan pada masa akan datang. Jadi, berilah peluang kepada BN untuk kembali menjadi wakil rakyat di DUN Buluh Gading,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Omar juga berhasrat mahu memastikan peluang pendidikan yang setara untuk setiap keluarga yang seimbang dengan prinsip Quranik, Ensiklopedik dan Ljtihadik.
Katanya, beliau akan berusaha untuk membentuk minda dan karakter penduduk di kawasan itu berfikiran sebagai juara berdasarkan kemahiran bakat dan kebolehan masing-masing.
“Saya akan memanfaatkan pengalaman saya dalam bidang pendidikan, kaunseling dan bimbingan untuk mencapai matlamat itu. Anak-anak muda perlu didedahkan dengan kepakaran teknologi yang bersasar dengan memperkasakan ekonomi digital dan gig ekonomi berdasarkan perkembangan semasa dunia.
EKOSISTEM
“Dalam masa sama, keseimbangan ekosistem kehidupan dalam keluarga dan komuniti juga diberi perhatian. Semua aspirasi ini sering saya kongsikan dalam pertemuan dengan pengundi sepanjang tempoh berkempen,” katanya.
Kata beliau, penjanaan ekonomi penduduk dan pelancongan komuniti akan diberi tumpuan bagi mengembangkan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) agar penduduk Buluh Gading dapat menjana pendapatan sewajarnya.
Ditanya penerimaan pengundi Buluh Gading kerana kawasan itu antara kubu Pas sejak dua penggal lalu, Cikgu Omar menjawab, selera pengundi selalu berubah.
“Sebagai calon baharu, saya perlu bekerja keras untuk meraih sokongan pengundi dengan dokongan kuat daripada jentera parti. Ramai yang telah beralih arah menyatakan sokongan sepanjang kempen ini dan berharap ia akan diterjemahkan dalam kertas undi pada Sabtu depan,” katanya.
Dalam PRN kali ini, DUN Buluh Gading menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Omar dan Ridzuan Hashim daripada Pas. – UTUSAN










