DKD dalam proses agihan, hampir setahun ‘diperam’

Dana Kandungan Digital dalam proses agihan selepas hampir setahun ‘diperam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengesahkan hadiah kemenangan untuk dua kategori Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2022 bernilai keseluruhan RM350,000 dalam proses pengagihan.

Hadiah yang diberikan dalam bentuk Dana Kandungan Digital (DKD) itu disahkan oleh Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat Finas, Siti Rahayu Ahmad Azmi kepada Utusan Malaysia .

“Saya dimaklumkan dana itu sedang dalam proses (pengagihan) cuma mereka perlu melalui pitching dan syarat kelayakan mengikut tatacara prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Hasil semakan dengan penganjur ASA 2022, Bahagian Pentadbiran dan Kewangan Finas memaklumkan sudah menghubungi pemenang bagi kedua-dua kategori iaitu Drama TV Terbaik dan Dokumentari TV Terbaik.

Penerima hadiah perlu mengemukakan cadangan kandungan yang akan dihasilkan dengan menggunakan dana tersebut.

Difahamkan, pemenang telah dipanggil untuk sesi pitching yang akan dilaksanakan oleh pihak Finas, pada 29 Ogos ini.

Isu itu timbul selepas hampir setahun ASA 2022 berlangsung di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 29 dan 30 Oktober, tahun lalu.

Pihak penganjur menjanjikan DKD berjumlah RM200,000 dan RM150,000 kepada dua pemenang kategori utama tersebut.

Sebelum ini, hasil semakan Utusan Malaysia dengan pemenang kategori Dokumentari TV Terbaik, Social Playlist terbitan Astro AEC mendapati pihak mereka belum menerima apa-apa makluman berkenaan dana tersebut.

Pengarah Drama TV Terbaik ASA 2022, Zainorhisyam Samudin turut mendedahkan pihaknya belum menerima imbuhan dana hasil kemenangan naskhah Pencipta Pegang Waktu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN