Dagangan Malaysia 2022 cecah RM2.8 trilion - Utusan Malaysia

Dagangan Malaysia 2022 cecah RM2.8 trilion

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia pada 2022 melepasi paras RM2 trilion bagi dua tahun berturut-turut dan mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak 1994 dengan pertumbuhan dua angka 27.6 peratus kepada RM2.8 trilion, tahun ke tahun.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi jumlah dagangan Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhannya pada 2022 dengan eksport, import dan lebihan dagangan melonjak ke nilai tertinggi baharu.

Menurut beliu, prestasi menggalakkan itu didorong oleh faktor permintaan luar yang tinggi serta harga komoditi yang kukuh.

“Eksport melonjak 24.9 peratus daripada RM1.2 trilion pada tahun sebelumnya kepada RM1.6 trilion. Pertumbuhan eksport disumbangkan oleh prestasi memberangsangkan kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.

“Selain itu, eksport domestik sekali lagi melepasi paras satu trilion pada 2022, meningkat 20.8 peratus kepada RM1.2 trilion, tahun ke tahun dan menyumbang 78.8 peratus kepada jumlah eksport.

“Pada masa sama, eksport semula bernilai RM328.0 bilion, mencatatkan pertumbuhan dua angka 43.2 peratus berbanding 2021,” kata beliau dalam laporan Perangkaan Muktamad Perdagangan Luar Negeri Malaysia 2023 bagi tahun rujukan 2022.

IMPORT

Beliau berkata, selari dengan prestasi eksport, import mencatatkan satu lagi pencapaian baharu apabila buat julung kalinya telah melebihi aras RM1 trilion dengan pertumbuhan dua angka 31 peratus, tahun ke tahun.

Sementara itu, katanya, lebihan dagangan meningkat 1.0 peratus kepada RM256.2 bilion, merupakan lebihan dagangan yang ke-25 tahun berturut-turut sejak 1998.

“Selaras dengan pertumbuhan tahunan, sebanyak 204 daripada 258 kumpulan barangan eksport menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya, dipacu keluaran petroleum bertapis.

“Bagi import, sebanyak 215 daripada 260 kumpulan barangan mencatatkan pertumbuhan positif,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, kenaikan eksport didorong terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura dengan pertumbuhan 33.6 peratus atau RM58.5 bilion berikutan eksport kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum dan jentera, kelengkapan dan peralatan.

AMERIKA SYARIKAT

“Ini diikuti oleh Amerika Syarikat (+RM25 bilion), Jepun (+RM22.8 bilion), Kesatuan Eropah (+RM22.3 bilion), Hong Kong (+RM19 bilion), China (+RM18.1 bilion) dan Republik Korea (+RM16.7 bilion), hasil daripada peningkatan eksport barangan E&E dan gas asli cecair.

“Di samping itu, peningkatan import dipacu oleh import yang lebih tinggi dari China dengan peningkatan RM46.8 bilion, didorong import yang lebih tinggi bagi barangan E&E dan kimia & bahan kimia,” ujarnya.

Mengulas lanjut eksport, beliau berkata, barangan perkilangan, keluaran pertanian dan hasil galian merekodkan pertumbuhan dua angka kepada nilai tertinggi baharu.

Pertumbuhan eksport yang mampan itu katanya, disokong oleh eksport barangan E&E (+RM137.0 bilion); keluaran petroleum (+RM65.0 bilion); gas asli cecair (+RM29.8 bilion); minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM20.8 bilion); petroleum mentah (+RM13.5 bilion) serta jentera, kelengkapan & peralatan (+RM10.5 bilion).

Jelas beliau, di sebalik landskap ekonomi global yang mencabar, prestasi dagangan Malaysia adalah seiring dengan prestasi negara serantau terutamanya Taiwan, Thailand dan Korea berikutan permintaan global yang kukuh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×