Cukai tanah RM766 juta pada 2022 penyumbang terbesar hasil Pahang - Utusan Malaysia

Cukai tanah RM766 juta pada 2022 penyumbang terbesar hasil Pahang

HAMDAN Hussin (dua kanan) menerima replika cukai Syarikat Gunung Benom Sdn. Bhd. di Bandar Tun Abdul Razak Jengka di Maran, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Cukai tanah berjumlah RM766.66 juta merupakan penyumbang terbesar kutipan hasil kerajaan negeri tahun lalu yang mencatatkan rekod RM1.285 bilion.

Pengarah Tanah dan Galian Pahang, Datuk Hamdan Hussin berkata, ia berjaya dicapai hasil usaha kerajaan negeri memberikan kesedaran kepada pembayar cukai membayar tunggakan cukai tanah mereka.

“Gerakan bersepadu dilaksanakan di 11 daerah dimulakan di Raub diikuti Maran bagi menyedarkan pemilik tanah membayar cukai dan tunggakan tanah milik mereka.

“Melalui slogan ‘Syukuri Nikmat, Laksana Tanggungjawab, Jelaskan Cukai Tanah Anda’ ia menjadi tanggungjawab pemilik tanah untuk membayar cukai tanah kepada kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas Program Karnival Tanah di Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini hari ini.

Hamdan berkata, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah mengembalikan kutipan hasil tanah kepada rakyat Pahang melalui pemberian pelbagai insentif.

Beliau turut mengingatkan semua pemilik tanah supaya sentiasa melunaskan tanggungjawab membayar cukai tanah sebelum 31 Mei setiap tahun bagi mengelakkan lebih banyak tunggakan yang membebankan mereka.

“Mana-mana pemilik yang enggan membayar cukai tanah seperti yang ditetapkan oleh Pentadbir Tanah, tindakan tegas akan dilaksanakan melalui endorsan surat peringatan melalui Notis Borang 6A.

“Jika tiada tindakan selanjutnya dibuat pemilik tanah, maka endorsan Notis Borang 8A akan dikeluarkan bagi tujuan perampasan semula kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau dalam pada berkata, kerajaan negeri juga sudah menetapkan tidak menaikkan kadar cukai bagi pegangan hak milik yang berkeluasan empat hektar ke bawah.

“Selain pembayaran secara fizikal di mana-mana kaunter pejabat tanah, pembayar juga mempunyai pilihan secara digital melalui laman web Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang menggunakan serta aplikasi PahangGo,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga dalam usaha meminimumkan pencerobohan tanah sama ada akibat aktiviti perlombongan atau pencerobohan tanah haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya