KUALA TERENGGANU: Misi membasmi kemiskinan tegar menjadi agenda utama yang dibawa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Calon PH Parlimen Kuala Terengganu, Azan Ismail berkata, agenda itu penting untuk direalisasikan sejajar dengan hasrat kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, pengundi di negeri ini harus mengambil peluang memastikan polisi kerajaan persekutuan dapat diselaraskan di peringkat negeri.
“Isu paling besar adalah kadar kemiskinan tegar di negeri Terengganu merupakan antara yang paling tinggi dalam negara dan kita ada empat bulan untuk mengatasinya.
“Ini kerana Perdana Menteri juga berhasrat mahu hapuskan (miskin tegar) di seluruh negara secara menyeluruh menjelang hujung tahun ini.
“Jadi kita yakin rakyat di negeri ini akan memilih PH dan BN untuk mengambil alih m kerajaan negeri sekaligus membantu kerajaan pusat menyelesaikan isu berkenaan,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, Azan berkata, beliau enggan menggunakan isu rasuah yang terpalit dengan parti Pas sehingga membawa kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu.
Menurut Ketua Cabang PKR itu, meskipun wujud elemen rasuah atau sogokan, PH dan BH mahu memandang ke depan dengan memberi fokus kepada isu lebih penting iaitu kebajikan rakyat.
Malah beliau mengakui, PRK Parlimen Kuala Terengganu akan menjadi penanda aras atau kayu pengukur keberkesanan kerjasama antara PH dan BN di peringkat persekutuan.
“PRK ini terpaksa diadakan kerana mahkamah mengesahkan wujud unsur rasuah dan membatalkan kemenangan Pas namun kita tidak mahu main isu berkenaan.
“Kami lebih memberi fokus untuk meneruskan batu asas yang diletakkan Perdana Menteri dan berharap ianya diterjemah pada keputusan PRN dan PRK, 12 Ogos nanti,” katanya.
Pada PRK Parlimen Kuala Terengganu nanti, Azan akan membuat perhitungan satu lawan satu dengan calon Pas yang juga penyandang kerusi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.-UTUSAN










