PETALING JAYA: Burung dan dron boleh menjadi antara faktor pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.
Teori tersebut berdasarkan pengalaman juruterbang yang pernah melalui detik ‘bertembung’ dengan burung selain kemungkinan ada ‘gangguan’ dron ketika kejadian pesawat tersebut terbang rendah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Juruterbang Serantau Malaysia Airlines (MAS), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, kedua-dua situasi itu antara punca yang boleh menyumbang kepada tragedi tersebut.
Menurut beliau, kehadiran burung berisiko mewujudkan momentum pelanggaran menyebabkan cermin hadapan pesawat pecah, malah terdapat kes burung masuk ke dalam enjin dan mengundang masalah teknikal kepada pesawat semasa berlepas atau mendarat.
Kata beliau, faktor burung hanyalah andaian awal berdasarkan pengalamannya yang pernah berdepan kejadian serupa.
“Jangan cakap burung tidak menjatuhkan pesawat, kerana haiwan ini berisiko menyebabkan masalah sehingga pesawat terhempas. Jadi, ini antara perkara patut dipertimbang.
“Saya sendiri pernah ‘berlanggar’ dengan burung dua kali di cermin depan pesawat. Burung ini terus hancur. Ada sesekali burung juga masuk ke dalam enjin, jadi ini adalah kes yang biasa berlaku,” kata beliau.
Selain itu, kata Nik Ahmad Huzlan, tragedi membawa pesawat itu terhempas mungkin boleh disebabkan ‘bertembung’ dengan dron kerana ketinggian dron boleh diterbangkan sehingga 487.68 meter.
Menurut beliau, faktor dron itu boleh diambil kira kerana kemalangan udara itu berlaku di kawasan yang berpenduduk dan mungkin ada dron dinaikkan ketika itu dan berlanggar dengan pesawat.
“Apa saya boleh katakan, kejadian menimpa pesawat ini amat menakutkan, kerana ia berlaku di altitud amat rendah dengan cara junaman maut,” katanya.
Dalam nahas tersebut mengorbankan 10 mangsa, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun, seorang pemandu dan penunggang e-hailing.
Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pesawat malang itu tidak mempunyai alat perakam data penerbangan (FDR).
Bagaimanapun, perakam suara kokpit (CVR) pesawat yang ditemukan menjadi antara bahan utama dalam siasatan. – UTUSAN










