KULAI: Bilangan pengundi di enam negeri yang terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) esok dibimbangi tidak mencatatkan peratusan yang tinggi seperti yang direkodkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata, peratusan pengundi yang akan keluar mengundi esok dikhuatiri berkurangan sehingga 20 peratus berbanding PRU15.
“Sambutan kempen pilihan raya yang dijalankan sejak dua minggu lalu cukup baik dan terasa bahang PRN, cuma kebimbangan kita ialah peratusan keluar mengundi yang rendah.
“Saya amat berharap pengundi dapat pulang ke kampung halaman dan menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat bagi memilih pemimpin bagi mentadbir negeri masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan wang tunai kepada enam keluarga yang terkesan akibat kejadian kebakaran di Taman Kulai, di sini semalam
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai itu memberikan bantuan wang tunai sebanyak RM46,000 kepada enam pemilik rumah yang terlibat dalam kebakaran di Taman Kulai, Selasa lalu.
Beliau berkata, bantuan itu diberikan bagi meringankan beban mereka selain akan membantu pemilik untuk mendapatkan bantuan bagi membaik pulih rumah mereka daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital memuji tindakan penyedia platform perkhidmatan media sosial yang memberikan kerjasama baik setelah bertindak pantas memadam kandungan yang menyentuh isu 3R sepanjang tempoh dua minggu kempen PRN berlangsung.
Beliau berkata, pemantauan sentiasa dilakukan pihak kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil secepat mungkin.
“Kita memang ada terima aduan (kandungan berunsur 3R) daripada SKMM ketika PRN ini dan pihak suruhanjaya itu meminta bantuan daripada penyedia platform seperti TikTok dan Meta untuk memadam kandungan seumpama itu dalam kadar segera.
“Berdasarkan laporan SKMM, ada juga syarikat penyedia platform yang tidak begitu responsif dan kita akan berbincang lebih lanjut dengan mereka untuk mengukuhkan lagi kerjasama,” katanya.-UTUSAN










