JOHOR BAHRU: Tujuh remaja lelaki termasuk seorang warganegara asing ditahan kerana dipercayai terlibat dalam pergaduhan di sebuah taman permainan di Taman Bestari Indah, di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua suspek yang berusia antara 14 hingga 17 tahun dipercayai bergaduh dipercayai kerana berebut seorang teman wanita.
“Polis menerima laporan mangsa yang berusia 15 tahun pada pukul 4.09 petang semalam mengatakan dia ditendang, dipijak dan ditumbuk beberapa kali pada bahagian badan, perut, tangan dan paha oleh tujuh remaja lain.
“Pengadu memaklumkan kejadian itu berlaku pada pukul 3 petang, 9 Ogos lalu. Akibat kejadian berkenaan, dia mengalami ebam, bengkak dan sakit di beberapa bahagian badannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Raub berkata, bertindak atas maklumat pengadu, sepasukan polis telah membuat enam serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini dan berjaya menahan kesemua tujuh suspek, termasuk seorang remaja warga asing.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sehelai jersi, empat helai baju T dan sebuah telefon bimbit.
“Kesemua suspek dikenakan tahanan reman dua hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.
Raub turut meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu untuk menghubungi talian 07-2182323. – UTUSAN