SHAH ALAM: Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melawat lokasi kejadian pesawat terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, di sini, hari ini.
Seri Paduka Baginda berangkat tiba pada pukul 5.30 petang sebelum diberikan taklimat oleh pihak berkuasa berhubung nahas ngeri tersebut.
Al-Sultan Abdullah meluangkan masa meninjau lokasi kejadian sebelum berangkat pulang pada pukul 6 petang.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, 10 termasuk orang termasuk lapan dalam pesawat itu terkorban dalam nahas tersebut.
Susulan kejadian itu, Persimpangan Elmina iaitu laluan keluar dan masuk ke kawasan perumahan di kedua-dua arah dari Lebuh raya Koridor Guthrie (GCE) ditutup sementara waktu sehingga kerja-kerja pembersihan dan siasatan selesai.
Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) dalam satu kenyataan berkata, para pengguna diminta untuk menggunakan laluan alternatif.
Penutupan itu susulan kejadian sebuah pesawat peribadi yang dilaporkan terhempas di persimpangan Elmina menuju Elmina Barat, Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) pukul 3 petang tadi.
“Menurut laporan awal, kemalangan turut melibatkan sebuah motorsikal. Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), ambulans dan Peronda GCE telah berada di lokasi kejadian untuk kerja-kerja pembersihan dan mengawal trafik.
“Pengguna diminta untuk menggunakan laluan alternatif. Sebarang aduan dan pertanyaan, sila hubungi hotline PROLINTAS di 1 800 22 8888,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, 10 individu disahkan maut dalam insiden pesawat ringan terhempas di Lebuh raya Guthrie, dekat Elmina kira-kira pukul 2.40 petang tadi. – UTUSAN