PETALING JAYA: UMNO digesa segera mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) khas susulan prestasi teruk pada enam pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu.
Ahli MT, Isham Jalil berkata, selepas hampir seminggu sejak UMNO tumpas dalam PRN, MT UMNO sehingga kini belum bersidang atau dipanggil untuk bersidang.
Menurut beliau, akar umbi akan menjadi semakin resah sekiranya pimpinan parti mendiamkan diri dan tidak memberikan hala tuju yang jelas semasa krisis.
Malah, kata beliau, berada dalam sindrom penafian dan melengah-lengahkan masa supaya isu dilupa bukanlah pilihan yang baik untuk UMNO.
“Oleh itu saya ingin menggesa dan sarankan supaya satu mesyuarat Majlis Tertinggi Khas dan Perhimpunan Agung UMNO khas diadakan segera untuk membincangkan hala tuju parti di saat yang getir dan kritikal ini.
“Kita perlu libatkan semua akar umbi UMNO yang ingin menyertai dalam perhimpunan agung khas ini sebab keputusan yang perlu kita buat adalah suatu keputusan yang amat penting dan memberi kesan kepada semua ahli dan akar umbi UMNO.
“Kita berada dalam keadaan yang luar biasa. Keadaan luar biasa memerlukan tindakan yang luar biasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Keputusan enam PRN Sabtu lalu menyaksikan calon UMNO yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 19 kerusi daripada 108 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
UMNO gagal meraih sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu, manakala parti itu cuma mengekalkan kemenangan di satu kerusi DUN di Kelantan iaitu di Galas.
Pencapaian terbaik UMNO adalah di Negeri Sembilan selepas memenangi 14 daripada 17 kerusi DUN selain masing-masing dua kerusi di Pulau Pinang serta Selangor. – UTUSAN