KANGAR: Kira-kira 1,000 kilometer paip air uzur dikenal pasti yang mendorong kepada peningkatan kadar air tak berhasil (NRW) di Perlis.
Pada masa ini, kadar NRW di Perlis masih merupakan antara tertinggi di Malaysia dengan merekodkan 62 peratus berbanding kadar sebelum ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Perlis (SAP), Dr. Mohmad Asari Daud berkata, sepanjang kira-kira 900 kilometer paip uzur di sekitar negeri ini telah ditukar dan buat masa ini pelbagai usaha sedang dilakukan bagi menangani permasalahan berkenaan.
Katanya, ekoran masalah tersebut, SAP terpaksa membaik pulih antara 40 sehingga 50 paip uzur setiap hari.
“Boleh dikatakan setiap hari kita membaik pulih paip-paip uzur di sekitar negeri ini dan usaha itu dilaksanakan dalam meningkatkan keberkesanan sistem pengurusan serta kawalan NRW,” katanya.
April lalu Utusan Malaysia melaporkan, Perlis berisiko kehilangan bekalan air bersih sehingga 80 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang jika isu kadar NRW tidak ditangani segera.
Berdasarkan kedudukan NRW nasional 2019, Perlis mencatatkan kadar NRW tertinggi sebanyak 63 peratus diikuti Kelantan (49 peratus) dan Kedah (48 peratus) berbanding 35 peratus bagi purata kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur negeri, Izizam Ibrahim dilaporkan berkata, permasalahan tersebut semakin meruncing memandangkan hampir keseluruhan paip di seluruh negeri itu telah uzur dan perlu diganti segera.
Dalam pada itu, Mohmad Asari berkata, SAP melalui kerajaan negeri juga cuba melakukan usaha bagi mendapatkan peruntukan sumber kewangan antaranya melalui pinjaman daripada kerajaan Persekutuan dalam menangani isu NRW di negeri ini.
“SAP sememangnya mengakui air merupakan sumber yang penting buat rakyat negeri ini dan disebabkan itu kita cuba berusaha dalam menangani permasalahan ini,” katanya.
Di samping itu, beliau berkata, satu inisiatif juga akan dilaksanakan menerusi penubuhan Sukarelawan Air Lestari Perlis bagi memastikan pengurusan sumber air yang lebih berkesan.
Katanya, sukarelawan tersebut akan diwujudkan melalui semua pusat-pusat khidmat di negeri itu dalam membantu mengenal pasti kebocoran paip, kecurian air dan pelbagai lagi.
“Dengan kekangan kakitangan dihadapi SAP ketika ini, sukarelawan berkenaan dapat membantu dalam menyumbang kepada kecekapan kita pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










