SHAH ALAM: Siasatan tragedi jet eksekutif Beechcraft 390 (Premier 1) yang terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam, Khamis lalu turut melibatkan 10 pakar penerbangan dari Amerika Syarikat (AS).
Sumber berkata, pasukan tersebut yang berada di lokasi nahas semalam, telah tiba di negara ini malam Ahad lalu dan dijangka berada di sini antara tujuh hingga 10 hari.
“Proses kerja lapangan dijangka siap hari ini (semalam) mengikut maklumat yang diberikan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).
“Polis akan terus mengawal kawasan lokasi sehingga semua proses mengangkat (bangkai pesawat) selesai. Kita kawal kawasan ini kerana tidak mahu orang awam menceroboh lokasi nahas,” katanya.
Sementara itu, kerja-kerja mengangkat serpihan pesawat berkenaan diberikan kepada sebuah syarikat oleh pihak BSKU.
“Proses siasatan mungkin ambil masa kerana banyak komponen kecil masih berada di lokasi kejadian.
“Semua barang kes akan dibawa ke hanger di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang untuk siasatan dan analisis selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Dalam kejadian yang berlaku Khamis lalu, pesawat tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terhempas dan melanggar sebuah kereta dan motosikal di Persiaran Elmina.
Nahas tragis itu mengorbankan 10 nyawa termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pasukan siasatan berkenaan tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi bagi memulakan operasi siasatan mereka dan mengangkat serpihan pesawat.
Kerja siasatan itu dikawal rapat oleh beberapa polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan orang ramai tidak dibenarkan untuk berhenti bagi melihat operasi siasatan.
Pasukan penyiasat AS dilihat meninggalkan tapak tragedi kira-kira pukul 2.45 petang dan dijangka melakukan kerja siasatan mereka di hangar mulai hari ini. – UTUSAN










