Undi BN-PH untuk bela Najib - Zahid

Undi BN-PH untuk bela Najib – Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terutama dalam kalangan ahli UMNO perlu mengundi calon Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (BN-PH) dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sebagai satu usaha menyokong bekas perdana menteri berkenaan termasuk usaha-usaha yang dilakukan supaya beliau mendapat keadilan dan pembelaan sewajarnya.

“Kita mesti mengasingkan tentang soal perundangan dengan soal PRN ini. Malah, Datuk Seri Najib sendiri melalui anak-anak beliau menyatakan bahawa dukungan mesti diberikan kepada Kerajaan Perpaduan sekarang ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Pemformalan Usahawan Informal, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, semalam.

Ahmad Zahid menegaskan, usaha membela Najib sentiasa dilakukan sama ada dari segi perundangan, malah juga dalam aspek sosial yang lain.

“Kalau Najib sendiri meminta bukan sahaja penyokong beliau tapi rakyat Malaysia keseluruhannya untuk mendukung (kerajaan Madani), jadi, tidak ada sebab kalau ada segelintir yang masih mempunyai pemikiran bahawa usaha-usaha tidak dilakukan untuk membela beliau,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow meminta penyokong dan ahli MCA serta MIC memberikan sokongan kepada calon BN-PH dalam PRN di enam negeri.

Beliau percaya keputusan untuk tidak bertanding yang dibuat oleh MCA dan MIC selepas meneliti dan mengkaji keadaan politik terkini khususnya pencapaian mereka dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

“Keputusan untuk bekerjasama di bawah payung perpaduan ini perlu dihayati dan diterima oleh semua ahli dalam gabungan ini.

“Maka apa-apa yang menjadi halangan perlu diketepikan demi memastikan kemenangan gabungan perpaduan dalam PRN nanti,” katanya semalam.

Kon Yeow berkata, manifesto PH-BN bagi Pulau Pinang untuk menghadapi PRN mungkin akan diumumkan pada minggu terakhir sebelum hari penamaan calon.

”Kerangka manifesto secara umumnya telah ada, kita ada masa tiga minggu dan kita sedang perincikan manifesto untuk PRN ini, mungkin ia akan diumumkan pada minggu akhir sebelum hari penamaan calon,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×