UIAM rangkul Anugerah Green Gown peringkat antarabangsa

UIAM rangkul Anugerah Green Gown peringkat antarabangsa

UIAM menang Anugerah Green Gown Antarabangsa 2023 bagi kategori Memanfaatkan Masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sekali lagi mencatat sejarah tersendiri apabila merangkul Anugerah Green Gown Antarabangsa 2023 bagi kategori Memanfaatkan Masyarakat.

Kejayaan itu menjadikan UIAM satu-satunya universiti di Malaysia menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan satu-satunya universiti Islam yang bersaing dalam kalangan universiti seluruh dunia.

Menurut Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, UIAM merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi Malaysia bahkan di dunia Islam yang menerima pengiktirafan sedemikian buat pertama kalinya pada tahun 2020.

Katanya, anugerah ini merupakan pengiktirafan bagi universiti untuk membuat satu perubahan atas kepakaran yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pengiktirafan ini adalah sebagai bukti menunjukkan tanpa mengejar kedudukan ranking, UIAM boleh mendapat pengiktirafan tertinggi di peringkat antarabangsa tanpa melaburkan sebarang kos untuk diiktiraf di peringkat antarabangsa dan menunjukkan bahawa sistem pembelajaran tidak hanya tertumpu di dalam kelas sahaja.

“Ia juga selaras dengan usaha UIAM menterjemahkan rahmatan lil-alamin iaitu rahmat ke seluruh alam dan meletakkan UIAM di antara salah satu universiti yang mempunyai peranan penting dalam merubah dan juga mencari satu pendekatan baru dalam menyelesaikan masalah masyarakat setempat dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anugerah Green Gown diberikan kepada universiti dari seluruh dunia sebagai pengiktirafan atas usaha yang dijalankan dalam membangunkan kelestarian didalam negara sendiri dan yang memberikan impak kesejahteraan untuk komuniti setempat bagi mencapai objektif kelestarian global PBB.

Anugerah tersebut mendapat sokongan dari United Nation (UN) Environment, International Association of Universities (IAU) dan The Association of Commonwealth Universities (ACU).

Terdahulu, Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi UIAM memaklumkan, UIAM berjaya menewaskan 13 buah universiti dari seluruh dunia dan Malaysia bagi kategori Memanfaatkan Masyarakat.

UIAM menerima untuk anugerah itu bagi perlaksanaan projek ‘Trash to treasure – A journey towards becoming a zero-waste comunity’.

Projek tersebut memberi impak kepada masyarakat tempatan ke arah kelestarian alam sekitar melalui program pengurusan sisa yang berkesan seperti program kitar semula secara bulanan, derma barangan terpakai dan mengumpul minyak masak terpakai yang diubah menjadi sabun.

Projek berkenaan menyumbang kepada amalan mengurangkan, mengguna semula, membaiki dan mengitar semula sisa terutama di bandar Kuantan, Pahang.

UIAM turut mendapat pengiktirafan Kepujian bagi kategori yang sama untuk perlaksanaan projek ‘YSM Agroprenuers – Empowerment of youth and single mothers through sustainable agriculture’.

Projek tersebut berkonsepkan komuniti untuk menangani jurang sosio-ekonomi antara ahli masyarakat dengan memberi peluang kepada belia daripada keluarga B40 dan ibu tunggal untuk memperkasakan diri mereka melalui aktiviti pertanian yang mampan.

Projek itu menyediakan latihan kepada peserta untuk membangunkan kemahiran dalam penanaman sayur-sayuran dan herba organik, yang kemudiannya dijual untuk menjana pendapatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya