Tuntutan Sulu: Malaysia akan lawan hingga ke penghujung - Utusan Malaysia

Tuntutan Sulu: Malaysia akan lawan hingga ke penghujung

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia akan lawan habis-habisan dan sedang melakukan gerakan agresif bagi menamatkan tuntutan waris Kesultanan Sulu untuk mendapatkan pampasan berjumlah RM62.59 bilion (AS$14.9 bilion).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tuntutan tersebut sudah melampau dan ia serangan sofistika­ted selain ‘satu bentuk pepera­ngan baharu’.

Menurut beliau, pihak penuntut sepatutnya menerima keputusan mahkamah dan ber­undur tetapi apa yang berlaku mereka terus membuat tuntutan sekali gus menimbulkan persoalan terhadap niat dan dalang di sebalik gerakan itu

Oleh itu, kata Azalina, kerajaan tidak akan tunduk terhadap sebarang tekanan daripada kumpulan tersebut.

“Perjuangan ini belum berakhir, tetapi bagi Malaysia kita akan lawan, dan kita lawan secara adil. Jaminan dari kerajaan, kita akan lawan habis-habisan. Kita takkan berhenti, kita takkan kompromi kepada apa jua peras ugut dari mana-mana negara atau mana-mana individu di luar sana sama ada rakyat atau bukan rakyat Malaysia.

“Mereka tidak akan berhenti kerana itu bukan duit dia (Paul Cohen peguam kepada waris Sulu)…itu duit funder, tapi takkan kita sebagai negara berdaulat, kita harus takut kepada mereka?

Kita di atas landasan benar, kita tak ada tipu sesiapa pun, kita terima kemasukan Sabah sebagai sebahagian Malaysia,” kata beliau pada sidang akbar di sini semalam.

KUMPULAN

Azalina mengulas demikian berhubung kenyataan peguam Cohen yang mewakili kumpulan Sulu yang bertegas tidak akan berganjak untuk meneruskan tuntutan anak guamnya yang diemelkan kepada akhbar ini pada Rabu lalu.

Menerusi emel tersebut, Cohen berkata, tumpuan kes itu bukan mengenai kedaulatan sebaliknya mendakwa ia me­ngenai pajakan komersial membabitkan Sabah.

Susulan itu Azalina berkata, kerajaan bercadang untuk menggubal akta imuniti iaitu salah satu cara untuk melin­dungi kedaulatan negara dari sebarang ancaman anasir luar.

“Kita nak wujudkan akta imuniti pada Oktober ini, jadi kalau negara disaman, kena ada prosedur lain, tak boleh main failkan sahaja, ini tiba-tiba negara kena saman.

“Kalau ini cara dia, kita lawan habis-habisan, sebab mereka sudah berada di tahap biadap, kita lawan secara adil, bagi tahu saya bila dan di mana..kita lawan sebab kita tahu Malaysia berada di pihak benar,” katanya.

Malah, beliau juga mahu waris Sulu membayar ganti rugi terhadap segala kos perundangan yang terpaksa ditanggung kerajaan setelah berbelanja RM31 juta ketika ini.

BAYAR

“Sudah tentu kos perbelanjaan akan naik tapi persoalannya siapa yang kena bayar, adakah rakyat Malaysia atau Paul Cohen atau orang lain tapi kita akan lebih agresif, kita mahu dibayar ganti rugi balik untuk semua yang kita belanja selama ini,” katanya.

Ketika ini, katanya, kerajaan dalam proses untuk meminta firma dana litigasi terkemuka dunia, Therium supaya mendedahkan perjanjiannya dengan waris Sulu atas tuntutannya terhadap Malaysia.

“Saya dah arahkan Jabatan Peguam negara untuk berkomunikasi dengan Therium, mengarahkan peguam solicitor di United Kingdom (UK) untuk menulis secara rasmi, memberi maklum iaitu disclosure (pendedahan) kepada perjanjian antara Therium dengan waris Sulu.

“Kami juga telah memberi arahan baharu, kalau gerakan itu ada elemen penipuan, kami akan ambil tindakan di bidang kuasa offensive (agresif) sama ada di Amerika Syarikat (AS) atau UK,” katanya Azalina.

Pada masa sama, kata beliau, kerajaan juga akan terus menyiasat sama ada tuntutan ini melibatkan keganasan dari aspek kewangan.

WARIS

“Berkenaan salah seorang waris dilihat sebagai pengganas seperti disebut Menteri Dalam Negeri, kita akan tengok apa perlu dilakukan dalam terrorism financing, kita akan beri maklum pada pihak berkuasa untuk membuat siasatan lebih, sebab kita tak tahu sama ada ia bukan hanya gerakan untuk penipuan duit sahaja atau lebih dari segi kedaulatan tapi Perdana Menteri mengesahkan kerajaan Filipina tidak terlibat, ini gerakan peribadi.

“Jadi, waris ini boleh ada kemampuan untuk ke negara-negara Barat yang kita kerajaan pun berbelanja berjuta, dia yang kononnya tak ada kemampuan, tiba-tiba ada kemampuan, persoalannya siapa dalang di belakang mereka, adakah hanya untuk wang ataupun lebih daripada wang, ini persoalannya,” katanya.

Justeru, beliau menyifatkan tuntutan ini sebagai serangan yang sotisfikated.

“Ini cara peperangan baharu, dia guna elemen kewangan, sebab kerajaan terlibat dalam pelbagai perniagaan, mungkin mereka cari sesuatu nak wujudkan kegusaran. Jadi, saya buat kesimpulan, kita kena matikan segala gerakan dilakukan daripada aspek funding dari waris, kita akan buatkan satu legal opinion sama ada perlu kita saman untuk kerugian kita hadapi dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN