KUANTAN: Penduduk Taman Pandan Aman 2 di sini kecewa apabila masalah tekanan air rendah yang dihadapi sejak tujuh tahun lalu masih berlarutan sehingga kini.
Berdasarkan tinjauan, rata-rata penduduk terpaksa berdepan masalah keputusan bekalan air pada setiap hujung minggu.
Penduduk mendakwa, masalah itu masih tidak menunjukkan sebarang perubahan sedangkan kawasan taman perumahan terbabit hanya terletak kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar raya Kuantan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Mohamad Arif Hamzah, 38, berkata, sudah banyak kali laporan dibuat kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), namun masih belum ada tanda masalah itu akan diselesaikan.
“Dengan itu, kami terpaksa memasang enjin berasingan pada batang paip utama rumah bagi meningkatkan tekanan air.
“Buat masa ini, hanya begini cara untuk mengatasi masalah tekanan air rendah. Kalau tidak memang tiada air untuk digunakan di dapur atau untuk urusan harian lain,” katanya menetap di situ pada 2016.
Seorang lagi penduduk, Faridah Husin, 58, mendakwa, masalah itu sudah terlalu lama berlarutan dan wajar diberi keutamaan oleh Paip untuk segera diselesaikan.
Katanya, pihak Paip memberi alasan penggunaan air terlalu tinggi di situ pada setiap hujung minggu hingga mengakibatkan berlaku gangguan bekalan.
“Jawapan itu diberikan pihak Paip apabila kami buat aduan. Masalahnya isu tekanan air rendah ini bukan hanya berlaku hujung minggu, tapi hari biasa pun sama juga.
“Bagi saya alasan penggunaan air terlalu tinggi pada hujung minggu bukan jawapan yang bijak… jika di Kuala Lumpur lagi ramai orang, banyak penggunaan air setiap hari, tapi jarang kita dengar isu sama seperti kami hadapi ini.
“Jadi, saya harap sangat pihak Paip atau kerajaan negeri boleh memberi perhatian dan membantu menyelesaikan masalah dihadapi kami,” katanya yang masih kekal tinggal di kawasan berkenaan berikutan tiada pilihan rumah lain.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd. Tarmizi Yahaya ketika ditemui selepas meninjau masalah berkenaan memberitahu, isu itu akan dibangkitkan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.
Jelasnya, pihaknya sudah memaklumkan kepada Paip dan meminta agar mereka melihat sendiri masalah dihadapi penduduk di sini.-UTUSAN









