MUKADIMAH
KEHANGATAN Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah sudah pasti akan lebih tertumpu kepada kerusi N24 Jeneri membabitkan penyandangnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang akan ditentang calon baharu Barisan Nasional (BN), DATUK MUHAMAD KHIZRI ABU KASIM.
Ini kerana Ketua UMNO Bahagian Sik yang baru lima bulan memegang jawatan itu bakal berdepan dengan figura besar yang bukan sahaja berpengaruh di Kedah tetapi juga sehingga ke peringkat Persekutuan.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, OTHMAN YAHAYA, anak jati Jeneri itu menyingkap semula pengalaman pernah bekerja bersama beberapa pemimpin parti termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang banyak membantunya membina keyakinan untuk berkhidmat kepada rakyat.
KENAPA Datuk menerima pencalonan untuk bertanding di Jeneri yang dikenali kubu kuat Menteri Besar Kedah?
Tawaran menjadi calon ini merupakan rezeki yang ditakdirkan kepada saya untuk berbakti kepada pengundi setelah sekian lama mengumpul pengalaman untuk menjadi ‘Yang Berkhidmat’.
Walaupun hakikatnya Muhammad Sanusi diterima di sini, tetapi tidak mustahil jika takdir Allah SWT jatuh ke atas bahu saya untuk berbakti dan mengubah stigma Sik kepada daerah maju berbanding dikenali antara termundur ketika ini.
Bagaimana dengan andaian rakyat khususnya anak muda yang lebih cenderung kepada Perikatan Nasional (PN)?
Bagi saya, politik di Parlimen Sik ini berdasarkan kepada tradisi, bila-bila masa boleh kalih (bertukar) kerana dibuktikan sebelum ini dengan ada ketikanya UMNO memenangi kerusi ini dan selepas itu dimenangi parti lawan. Ini dibuktikan dalam pilihan raya sebelum ini.
Jadi, saya yakin situasi itu akan memberi kemenangan dan berpihak kepada saya. Situasi ini juga boleh berubah berdasarkan penerimaan pengundi lama dan baharu atau anak muda semasa saya menyantuni mereka.
Peluang Datuk di kerusi ini?
Saya sedar cabaran pertandingan ini sengit tetapi dengan pengalaman dalam parti membuatkan saya optimis boleh berjaya.
Tambahan, sistem berstruktur yang cukup tersusun dalam UMNO mampu digunakan untuk membawa perubahan besar memenangi hati pengundi kerana mereka semestinya tidak lagi mahu bercakap berkisar politik semata-mata tetapi turut merasakan kesannya perlu kepada agenda pembangunan.
Kenapa pengundi perlu memilih Datuk dan calon BN?
Saya merasakan sistem pemerintahan di negara ini mesti selari antara Kerajaan Pusat dan negeri bagi memudahkan bantuan, kemudahan khususnya untuk memenuhi keperluan rakyat.
Politik kepartian semata-mata tidak ke mana kerana ia akan membantutkan usaha merealisasi keutamaan menjadi pemimpin yang berjaya mengeluarkan rakyatnya dari kepompong kemiskinan. Kita akui di Sik masih mundur dan pemimpin muda seperti saya mampu melakukan perubahan kerana kita ada Kerajaan Pusat di belakang.
Jika menang apa yang akan dilakukan di Jeneri dan Sik?
Sistem telekomunikasi, jaringan internet perlu diperbaharui serta banyak lagi penambahbaikan infrastruktur asas harus diberi keutamaan. Ia boleh dilakukan jika kerajaan negeri bergerak satu landasan dengan kerajaan Pusat.
Saya tidak boleh dinilai berdasarkan calon muda baharu, sebaliknya perlu diberi peluang menjadi pemimpin kerana itu keazaman saya sebagai anak jati Jeneri untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat. – UTUSAN










