PORT DICKSON: Pantai Telok Kemang yang merupakan pantai peranginan utama di daerah ini dilihat sentiasa mempunyai potensi menjadi destinasi pelancongan pilihan bertaraf nasional.
Bagi calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Mohd. Najib Mohd. Isa, oleh itu Pantai Telok Kemang tidak boleh lagi hanya menarik kunjungan pelancong dari dalam negeri serta dari Lembah Klang sebaliknya perlu menarik kehadiran pelancong seluruh negara.
Sehubungan itu, jelasnya, kemudahan dan infrastruktur di daerah ini khususnya di bandar Port Dickson perlu ditingkatkan bagi mendorong perkara tersebut.
“Perlu juga ada penyelaran bersama di antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri. Jika kerajaan Pusat lain dan kerajaan negeri lain, usaha ini susah la sikit,” katanya selepas mengadakan ‘walkabout’ di Pantai Telok Kemang di sini semalam.
Beliau yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson menambah, peningkatan kehadiran pelancong di Pantai Telok Kemang pastinya akan membolehkan penduduk setempat menjana ekonomi masing-masing.
“Sebahagian besar peniaga ni anak jati Telok Kemang, memang orang sini. Antara perkara yang peniaga di sini ketengahkan adalah berkenaan kemudahan tempat berniaga.
“Mungkin memerlukan sedikit pembaharuan dan ia juga memerlukan kerjasama penduduk setempat, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan pejabat daerah. Insya-Allah kalau saya diberikan peluang saya akan menjadi orang tengah menjadi penyelaras antara masyarakat dan pihak berkuasa.
“Ia bagi kita mewujudkan sesuatu yang baik terutama untuk warga Telok Kemang dan kepada para pengunjung daripada luar yang datang ke sini,” katanya lagi.
Mohd. Najib dalam pada itu yakin pengundi-pengundi di Bagan Pinang akan sekali lagi memberikan sokongan kepada BN bagi mewakili mereka di DUN tersebut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 ini, beliau akan bersaing dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Fatah Zakaria di kerusi DUN itu. Terdapat seramai 27,790 pengundi berdaftar di DUN Bagan Pinang.









