WASHINGTON: Sekumpulan wakil rakyat Parti Demokrat di Kongres Amerika Syarikat (AS) menggesa Jabatan Negara menamatkan kebisuan kerajaan yang sekian lama berdiam diri mengenai keupayaan nuklear Israel.
Dalam surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, kumpulan Demokrat itu menyatakan perang antara Israel dan Iran menjadi sebab mengapa penjelasan lebih telus diperlukan segera.
Walaupun Israel dipercayai memiliki senjata nuklear sejak 1960-an, negara itu mengekalkan ‘dasar kerahsiaan nuklear’ dengan tidak pernah mengesahkan secara rasmi kewujudan program dan senjata nuklearnya, menurut Inisiatif Ancaman Nuklear yang berpangkalan di Washington.
Rumah Putih juga sekian lama mengekalkan pendirian samar mengenai isu berkenaan walaupun beberapa pengakuan tidak langsung pernah dibuat sebelum ini.
Susulan itu, beberapa anggota KongresAS melancarkan usaha bersama secara terbuka bagi menuntut ketelusan lebih besar selepas puluhan tahun sokongan dwipartisan terhadap Israel.
“Kongres AS mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk dimaklumkan sepenuhnya tentang keseimbangan nuklear di Asia Barat, risiko peningkatan oleh mana-mana pihak dalam konflik ini dan perancangan serta kemungkinan pentadbiran untuk senario demikian.
“Kami percaya maklumat itu masih belum diberikan,” menurut surat itu yang ditandatangani oleh 30 wakil rakyat parti tersebut.
Dalam surat bertarikh 4 Mei itu, wakil rakyat terbabit secara terbuka meminta Rubio menjelaskan keupayaan senjata nuklear Israel, termasuk maklumat terperinci mengenai kepala peledak dan sistem pelancar yang dimiliki negara tersebut.
Mereka turut memberi tumpuan khusus kepada Pusat Penyelidikan Nuklear Negev di Dimona yang sekian lama dipercayai menjadi teras program nuklear Israel.
“Adakah Israel ketika ini memiliki keupayaan pengayaan uranium dan pada tahap mana?,” soal mereka sambil menuntut penjelasan mengenai pengeluaran plutonium negara itu.
Surat itu turut mempersoalkan sama ada Israel, yang bukan penandatangan Perjanjian mengenai Pencegahan Penyebaran Senjata Nuklear (NPT), pernah menjelaskan kepada AS mengenai ‘doktrin nuklear, garis merah atau ambang penggunaan senjata nuklear dalam konteks konflik semasa dengan Iran’. – AL-JAZEERA











