PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diminta mengambil pendirian terhormat dengan meninggalkan Kerajaan Perpaduan selepas parti itu terutama Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat sering mengkritik kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, kritikan Syed Saddiq itu didakwa hanya untuk meluahkan kekecewaannya kerana Muda gagal memperoleh sebarang kerusi dalam enam pilihan raya negeri (PRN).
“Jangan kerana parti tidak dapat tempat dan kerusi dalam PRN, jangan lahirkan kekecewaan itu dengan membuat andaian tidak wujud.
“Adalah lebih terhormat Syed Saddiq mengambil keputusan untuk meninggalkan Kerajaan Perpaduan dan membuat haluan sendiri sebagai sebuah parti politik.
“Jika mahu kutuk dan hina tidak ada masalah sebab di luar kerajaan tetapi sekarang (Syed Saddiq) masih tidak mempunyai pendirian di mana dia berada sama ada berada dalam kerajaan atau pembangkang.
“Tidak boleh (berada) dalam kerajaan, tetapi bertindak (sebagai) pembangkang,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau mengulas kelantangan Syed Saddiq yang dilihat sering mengkritik kerajaan terutamanya menjelang enam PRN yang dijadual berlangsung 12 Ogos nanti.
Terbaharu, Syed Saddiq semasa sidang media khas pengumuman calon Muda kelmarin menyifatkan dakwaan bahawa tidak ada seorang pun menteri di dalam Kabinet yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpalit dengan rasuah dan mendapat pengiktirafan bahawa semuanya bersih sebagai satu kenyataan membimbangkan serta bahaya.
Lokman berkata, bekas Menteri Belia dan Sukan itu sepatutnya bertanya pada diri sendiri mengapa beliau tidak menegur banyak perkara tidak betul semasa dalam Kabinet.
“Jadi kalau nak kata ada cover up di peringkat Perdana Menteri, itu berlaku ketika zaman Tun Mahathir dan ketika itu Syed Saddiq mendiamkan diri” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali berpandangan, sebarang pendirian untuk mengisytiharkan Muda sebagai pembangkang terpulang kepada parti itu.
Katanya, ini kerana beliau berpendapat Muda masih lagi sebahagian daripada 19 parti yang membentuk kerajaan.
“Cuma saya agak kecewa dengan pendekatan diambil, sepatutnya Syed Saddiq bersama-sama dalam komponen Kerajaan Perpaduan mendepani PRN akan datang.
“Memang hakikat setiap rakyat mengundi di kerusi masing-masing, tetapi dari segi strategi pilihan raya, pertembungan banyak penjuru akan memecahkan banyak undi dan itu yang Syed Saddiq perlu faham,” katanya. – UTUSAN










