KOTA BHARU: Seorang suri rumah buntu memikirkan nasibnya selepas perlu mencari wang segera berjumlah RM3,600 bagi membolehkan anaknya berusia 34 hari menjalani pembedahan secepat mungkin akibat penyakit ketumbuhan di dalam kepala.
Nur Emillia Natasya Rosdi, 25, berkata, pembedahan itu bertujuan membuang air di dalam ketumbuhan pada kepala anaknya Nur Amni Badriah Shahrol untuk kali kedua.
Menurutnya, selepas dilahirkan Nur Amni Badriah telah menjalani pembedahan selepas ketumbuhan sebesar lapan sentimeter (cm) telah pecah semasa dalam kandungan.
“Pendapatan tidak menentu suami Shahrol Ibrahim 24, yang bekerja sebagai buruh merumitkan hasrat kami untuk mengumpul wang tersebut.
“Disebabkan itu, saya masih gagal melunaskan bayaran bil untuk pembedahan pertama anak berjumlah RM900. Buat masa ini, anak saya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian di sini sejak dia dilahirkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Nur Emyllia Natasya memberitahu, sejak itu dia terpaksa menghabiskan wang RM50 sehari untuk berulang alik dari rumah ibu mertuanya di Kampung Gaung, Lati, Pasir Mas ke Hospital USM.
Katanya, satu pembedahan kecil akan dilakukan oleh pihak Hospital USM untuk memasukkan belon di dalam kepala selepas difahamkan Nur Amni telah terkena jangkitan kuman.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menggunakan akaun CIMB 7627199974 atas nama Nur Emyllia Natasya Rosdi atau menghubunginya di talian 014-9636425.-UTUSAN










