Suri rumah maut kemalangan tiga kenderaan, empat anak selamat - Utusan Malaysia

Suri rumah maut kemalangan tiga kenderaan, empat anak selamat

KEADAAN kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan yang berlaku di Kilometer 16 Jalan Bahau-Keratong, Jempol, petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang suri rumah maut selepas terbabit dalam nahas tiga buah kenderaan termasuk sebuah lori di Kilometer 16 Jalan Bahau-Keratong, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, mangsa, Norhafizawati Che Noh, 36, beralamat di Muadzam Shah Pahang disahkan maut oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Empat anaknya yang berusia tiga hingga 14 tahun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kemalangan berkenaan membabitkan lori jenis Toyota Dyna Hiace, Toyota Camry yang dipandu mangsa dan sebuah Proton Persona.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu lori yang memandu seorang diri dari arah Keratong menghala ke pekan Bahau manakala dua kenderaan lagi dari Bahau menghala ke Keratong.

“Setiba di tempat kejadian, ketika lori bergerak terus, tiba-tiba kereta jenis Toyota Camry telah masuk ke laluan bertentangan dan telah bertembung dengan lori. Akibat pelanggaran itu, Toyota Camry telah berpusing dan masuk ke laluannya semula.

“Manakala kereta Proton Persona yang berada di belakang Toyota Camry dari arah yang sama tidak sempat mengelak lalu melanggar disisi hadapan kanan. Akibat daripada kemalangan ini, pemandu Toyota Camry telah mengalami kecederaan yang parah dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.

Pemandu lori iaitu lelaki berusia 34 tahun dan pemandu Proton Persona iaitu wanita berusia 24 tahun mengalami kecederaan ringan.

Chang Hook berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya