Skim Baja Perintis tingkat pengeluaran beras negara - Utusan Malaysia

Skim Baja Perintis tingkat pengeluaran beras negara

MOHAMAD Sabu (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sempena Program Santai Peladang Bersama Pemimpin Peladang Zon Tengah 2023 di Seremban hari ini.-UTUSAN/ MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memperkenalkan Skim Baja Perintis melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran beras negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, insentif itu membolehkan para petani terus mendapat skim baja sedia ada dan akan ditambah dengan baja-baja tambahan lain.

“Untuk meningkatkan hasil padi di negara ini, kerajaan dan kementerian bukan saja akan membaiki infrastruktur pengairan, serta meneruskan bantuan input pertanian sedia ada melalui Nafas, tetapi kita juga akan memperkenalkan baja tambahan melalui Skim Baja Perintis.

“Kita akan perkenalkan segala kaedah baja baharu sebab itu ia dipanggil perintis termasuk baja organik, mikrob, foliar serta pelbagai jenis baja lain,” katanya pada sidang akhbar sempena Program Santai Peladang Bersama Pemimpin Peladang Zon Tengah 2023.

Turut hadir Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Nafas, Datuk Zamri Yaakob dan Pengurus Besar Nafas, Muhammad Faris Arriffin.

Mohamad berkata, masalah kekurangan beras merupakan isu serius dan perlu diberi perhatian sebelum negara pengimport seperti India dan Vietnam mengumumkan akan mengurangkan sumber beras ke negara ini.

“Kalau sampai negara yang kita import beras ini mencukupkan beras tempatan mereka (kurangkan import), kita kena buat insentif atau persediaan daripada sekarang, Nafas dan MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memainkan peranan dalam soal pembenihan dan baja berkualiti.

“Saya yakin semua usaha yang sedang kita gerakkan sekarang akan mula dilihat hasilnya dalam tempoh pentadbiran sekarang. Sebab itu, kestabilan kerajaan penting supaya semua usaha ini dapat berjalan dengan sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, agenda keterjaminan makanan kini bukan sahaja dipikul oleh KPKM tetapi juga kementerian lain bagi memastikan kita tidak terlalu bergantung kepada sumber import.

“Tekad kita dalam tempoh 10 tahun ini, negara akan mencapai 100 peratus tahap sara diri (SSL) khususnya bagi makanan asas seperti beras, ikan, ayam dan sayur-sayuran.

“Setelah melihat keupayaan Nafas dalam teknologi pembuatan baja, saya yakin Nafas akan terus memainkan peranan dalam pembekalan baja-baja berkualiti secara efektif pada masa hadapan selain terus membayar dividen kepada pemegang-pemegang saham yang rata-ratanya ahli peladang sendiri,” katanya.

Justeru, Mohamad berkata, dalam merealisasikan perancangan penanaman lima musim dua tahun, rangkaian Pertubuhan Peladang tidak akan dipinggirkan. 

“Pertubuhan Peladang sudah pasti akan menjadi nadi bagi menggerakkan  pelaksanaan projek ini bersama-sama jabatan dan agensi KPKM dalam merealisasikan hasrat kerajaan  mentransformasikan industri padi negara,” katanya

Tambah Mohamad, beliau yakin jika Skim Sawah Berskala Besar (SBB), Tanaman Ala Sekinchan dan Projek Baja Pintar diperluaskan di kawasan tengah Semenanjung selepas ini, purata pemutuan padi akan dapat diturunkan di bawah 15 peratus.

“MARDI juga diminta supaya mencipta jentera pemotong padi yang lebih efisien supaya peratus padi cicir di sawah dapat kita minimumkan,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya